MENTERI BESAR ANGGAP KENYATAAN TPM TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

KENYATAAN AKHBAR
16 JULAI 2010
MENTERI BESAR ANGGAP KENYATAAN TPM TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab apabila berkata Kerajaan Persekutuan tidak akan campurtangan dalam menangani isu perlombongan pasir secara haram di Selangor.

Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kenyataan angkuh tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan kerana semua agensi penguatkuasaan dan kuasa pendakwaan adalah bawah kerajaan Persekutuan.

“Saya amat kecewa dan terkejut apabila seorang menteri Persekutuan ‘cuci tangan’ dari menjaga keselamatan rakyat dan menguatkuasakan undang-undang yang berada bawah Kerajaan Persekutuan.

“Sekurang-kurangnya beliau boleh memulakan perbincangan dengan polis dan pihak berkuasa lain bagi membanteras jenayah curi pasir ini. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri ini perlu dikutuk kerana enggan menggunakan kuasa terhadap agensi penguatkuasaan dan sebaliknya menyerahkan tugas itu sepenuhnya kepada Selangor,” kata Menteri Besar.

Pada Selasa lalu, Menteri Besar telah menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri untuk memaklumkan tindakan kerajaan negeri membanteras kecurian pasir di Selangor yang menjadi tajuk utama akhbar arus perdana.

Surat itu sebagai respon kepada kenyataan menteri Persekutuan tersebut yang mendakwa masalah curi pasir ini mudah diatasi dengan cara menangkap dan menghukum mereka yang terbabit.

Dalam surat yang dihantar ini, Menteri Besar juga memberi maklumat terperinci kawasan-kawasan curi pasir, suspek terlibat dan himpunan laporan polis sejak beberapa tahun lalu sambil meminta Timbalan Perdana Menteri memberi arahan yang berpatutan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kerajaan Selangor juga meragui ketulusan komen Timbalan Perdana Menteri dalam hal ini. “Satu-satunya rasional ialah kenyataan beliau ini lebih kepada motif politik. Jika ini benar, maka ia akan memberi impak negatif kepada pembangunan negara apabila isu keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang dipolitikkan.

“Ini juga bukti menteri Persekutuan tidak bersikap profesional. Sikap mereka ini amat mengecewakan rakyat Malaysia,” katanya.

Menteri Besar berkata, jika pun isu curi pasir bukan keutamaan pasukan polis yang mempunyai masalah kekurangan anggota, maka sudah tiba masanya pihak PDRM membenarkan kerajaan Selangor menubuhkan pasukan polis bantuan.

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya memberi kebenaran kepada kita menubuhkan pasukan polis bantuan bagi menolong pasukan polis. Namun dengan cara menafikan hak dan mengarahkan kita menyelesaikan sendiri masalah curi pasir adalah tidak adil sama sekali,” tegas Menteri Besar.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO MENTERI BESAR SELANGOR

1 comment

hussin said...

stopa ali kata pas bersedia bincang peringkat g 2 g.

ni lah contoh federalisme amalan umno. stopa orang lama pung takleh faham? mesti ada screw loose.

berhentilah bersuara pasal nak bincang/bertemu/muzakarah/berjumpa dengan umno nih. tengok macam mana dia eksploit isu ni, salah sapa? yang dok basah bibir wirid pasala bincang/temu/muzakarah/jumpa ni pasal apa? kata dah tak ada lagi. dah tutup. jangan pas hilang kredibiliti berdepan pru13.

yang ditutup tu ug, kerajaan perpaduan hasil pertemuan dalam gelap. yang nak bincang/temu/muzakarah/jumpa ni tak ada kena mengena dengan ug/perpaduan. hei! ni politiklah. hang pi jumpa tengok. akhbar dia akan pusing habis2an. pas habis stim nak jawab/tepis/perbetulkan. tup2 pru13. mampuih pas... kerja pilihanraya tak minat, minat lagi bincang/temu/muzakarah/jumpa dengan umno. kalau dah minat sangat, masuk je umno. jangan dok susahkan jemaah.

boleh tak semua pemimpin pas berhenti cakap bab bincang/temu/muzakarah/jumpa dengan umno ni. g 2 g ke apa ke, mengarut je. aku oingat ni mesti idea puak2 ug yang masih bernafas dan mencengkam pas yang sudah menduduki kerusi keliling tgna. kalau tidak, takkan stopa ali boleh terus sambut kononya g 2 g?

wallahu'alam.

Powered by Blogger.