Najib Perlu Serius Dalam Soal Rasuah

Najib Perlu Serius Dalam Soal Rasuah

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa mempertimbangkan cadangan memberi kuasa pendakwaan kes rasuah kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas Suruhanjaya SPRM.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam sidang media yang diadakan, menyuarakan gesaan agar Najib membuat perbentangan rang undang-undang cadangan pindaan perlembagaan negara jika kerajaan betul-betul serius ingin membanteras rasuah di dalam negara ini.

Beliau, yang juga salah seorang anggota dalam jawatankuasa tersebut, berkata jawatankuasa berkenaan telah mengemukakan satu laporan kepada Najib iaitu 'Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah 2009' pada 9 Julai jam 3.30 petang di pejabatnya.

"Apa yang penting adalah beberapa cadangan yang telah kami masukkan dalam laporan itu bagi menangani masalah rasuah yang melanda negara ini terutamanya yang melibatkan kes berprofil tinggi. Najib mesti menjadikan cadangan ini sebagai satu yang penting dalam urus tadbir beliau selain itu juga saya cadangkan ia dimasukan ke dalam indeks prestasi utama (KPI) ini adalah usaha kita untuk membanteras unsur rasuah.

Kalau Najib serius inilah cadangan yang paling utama dan membuat pengubalan segera keatas perlembagaan negara ini supaya kuasa pendakwaan diberikan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kita melihat kebanyakkan kes yang mempunyai profil yang tinggi tidak dapat dibuat pendakwaan kerana faktor-faktor tertentu, kebanyakkan kes yang dibawa ke Majlis Peguam Negara tidak ada pendakwaan dibuat," katanya lagi.

Sehubungan itu, tambah beliau lagi, kuasa pendakwaan itu perlu diberikan kepada SPRM untuk membuat setiap pendakwaan terhadap kes yang dirasakan perlu diketengahkan.

Menurutnya lagi, Badan pencegahan Rasuah (BPR) sebelum ini telah menyiasat 18 kes yang berprofil tinggi tetapi hanya dua kes sahaja yang didakwa iaitu kes Tan Sri Eric Chia terhadap PERWAJA dan juga bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam, tetapi sehingga sekarang kes berkenaan masih tidak diketahui kesudahannya.

Beliau seterusnya berkata SPRM mempunyai masalah untuk menyelesaikan kes yang telah dilaporkan kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk membuat dakwaan sehinggakan rakyat meletakkan tanggapan yang buruk kepada SPRM kerana gagal melaksanakan tugas mereka.

"Usaha kita ingin mengembalikan imej SPRM serta membasmi rasuah, sudah sampai masanya kita memberi kuasa kepada SPRM untuk melakukan pendakwaan agar kes yang mereka siasat di bawa kemuka pengadilan," sambungnya.

Beliau juga memberi jaminan kepada Najib jika kerajaan betul-betul serius ingin membuat pengubalan kepada perlembagaan, Pakatan Rakyat akan memberi sokongan semasa pengundian nanti. Beliau yang memberi jaminan ini kerana dalam keadaan kerusi di parlimen sekarang kerajaan sukar untuk membuat pindaan perlembagaan kerana kurang sokongan majoriti dua pertiga.

"Mungkin satu persoalan timbul di sini, untuk meminda perlembagaan negara memerlukan dua per tiga majoriti. Saya yang mewakili PAS, dan wakil DAP serta KEADILAN memberikan jaminan sekiranya Perdana Menteri datang ke Parlimen untuk meminda perlembagaan negara, dan sekarang mereka tidak ada majoriti dua per tiga, kami Pakatan Rakyat memberikan jaminan bahawa kita akan mengundi bagi membolehkan perlembagaan negara dipinda dan membolehkan pesuruhjaya SPRM manjalankan pendakwaan," katanya.

Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2008 itu bertujuan menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selain menerima laporan tahunan SPRM dan ulasan daripada Lembaga Penasihat SPRM.

Selain Salahudin yang mewakili Pakatan Rakyat, jawatankuasa itu diwakili oleh ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw dari DAP, dan ahli Dewan Negara Senator Zamri Yusuf dari KEADILAN

No comments

Powered by Blogger.