PSM Mohon MB Selangor Pertimbang Keputusan Lantikan Semula Ahli Majlis

Oleh Sidiqin Omar

SHAH ALAM 20 Julai - Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dalam kenyataan medianya semalam, memohon agar kerajaan negeri Selangor untuk mempertimbangkan semula keputusannya untuk menggantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dari parti tersebut yang digugurkan baru-baru ini.

"PSM ditawarkan tiga kerusi Ahli Majlis, iaitu dua di dalam kawasan DUN Kota Damansara, (satu di Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan satu Majlis Bandaraya Shah Alam) dan ini ialah jaminan daripada Menteri Besar pada tahun 2008.

"Sementara satu lagi kerusi Ahli Majlis, melalui lantikan di MPKj (Majlis Perbandaran Kajang) dimana calon PSM pernah bertanding di DUN Semenyih pada tahun 2008," kata Arul.

Pada pilihanraya ke-12 yang lalu, PSM bertanding kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Damansara dan Semenyih dengan menggunakan lambang KEADILAN, sebelum kelulusan pendaftaran parti tersebut oleh pendaftar pertubuhan (ROS) pada 29 April 2009.

DUN Kota Damansara dimenangi oleh Dr Nasir menewaskan Datuk Zain Isma dengan majoriti sebanyak 1,075 undi.

Arul dalam kenyataannya itu juga menjelaskan bahawa PSM telah dipanggil untuk berbincang mengenai perlantikan Ahli Majlis dan hanya Dr Nasir sahaja yang menghadiri mesyuarat tersebut.

Dr Nasir menyerahkan nama-nama cadangan itu dan kemudiannya dimaklumkan oleh seorang anggota Exco bahawa kerajaan negeri kurang berpuashati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Ahli Majlis tersebut.

"PSM terkilan apabila pertukaran Ahli Majlis tersebut dilakukan tanpa memberikan sebab-sebab yang jelas.

"Keputusan tersebut sedikit sebanyak telah mengeruhkan perhubungan dan kepercayaan yang terbina sebelum ini.

"Kita juga bimbang sekiranya wujud campur tangan pihak ketiga dalam membuat keputusan tersebut." ujar beliau.

Arul memaklumkan bahawa Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim telah bertemu dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan beliau berjanji untuk menyelesaikan kekeliruan tersebut secepat mungkin.

Pada masa yang sama, beliau jugal optimis bahawa perkara tersebut akan diselesaikan dengan kaedah dan jalan terbaik.

"Kongres Nasional PSM baru-baru ini menetapkan resolusi bahawa kami akan bersama Pakatan Rakyat terutamanya dalam isu yang melibatkan rakyat dan tidak menolak kerjasama politik untuk menggulingkan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-13 kelak.

"Kini kami menyerahkan perkara tersebut kepada kebijaksanaan Menteri Besar Selangor yang telah memberikan jaminan bahawa beliau akan membantu menyelesaikan masalah tersebut untuk PSM mendapatkan kembali jawatan Ahli Majlisnya yang ketiga," tambah beliau dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Arul memaklumkan bahawa beliau turut menulis surat kepada Presiden KEADILAN, Datin Seri Wan Azizah dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi jaminan bahawa sekiranya terdapat ahli parti tersebut yang culas dalam tanggungjawab, akan digantikan dengan yang lain.

No comments

Powered by Blogger.