Obor Keadilan Dalam Pasaran Terus Dedahkan Kebobrokan Umno-BN

Oleh Fazli Othman

SHAH ALAM 23 Julai - Setelah terbitan akhbar tidak berkala pertama berjudul 'Keadilan' susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan, Parti Keadilan Rakyat telah menerbitkan akhbar tidak berkala bagi kali kedua yang dipanggil 'Obor Keadilan'.

Akhbar terbitan Angkatan Muda KEADILAN itu mula diedarkan ke seluruh negara sejak Selasa lalu.

Tajuk 'Selain Felda...BN Perah Petronas' mendedahkan kebobrokan kerajaan Umno-Barisan Nasional memaksa Petronas membayar RM30 bilion setiap tahun untuk perbelanjaan negara walaupun keuntungan syarikat gergasi itu mengalami penyusutan ketara.

Selain itu, berita berhubung Felda terus dimuatkan apabila puluhan ribu keluarga peneroka Felda masih dibelenggui hutang dan berpendapatan rendah kerana terikat kepada syarat-syarat program tanam semula yang dikendalikan oleh anak syarikat, Felda Technoplant Sdn Bhd.

Manakala di muka belakang akhbar itu memaparkan berita yang bertajuk 'Badut Umno tuduh Anwar alat CIA' dimana media kawalan Umno diperalatkan bagi menggambarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perisik Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan kononnya sanggup membayar stesen kabel televisyen CNN untuk menemuramah beliau.

Akhbar 24 mukasurat itu dijangka memenuhi hasrat parti untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai aktiviti serta ulasan isu terkini yang mempunyai kepentingan parti, rakyat dan negara.

Pihak KDN sebelum ini telah memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap parti dan pemimpinnya sekiranya KEADILAN berkeras untuk menerbitkan lidah rasmi yang telah digantung itu.

Tindakan KDN menggantung Suara Keadilan mempunyai hubungkait dengan artikel 'Felda Bankrap' yang disiarkan dalam keluaran 237 akhbar tersebut bertarikh 22-29 Jun lalu.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengugut dengan berkata akhbar itu mungkin menghadapi risiko ditutup terus jika berdegil menerbitkannya tanpa permit.

Walau bagaimanapun amaran dan ugutan tindakan undang-undang tidak sedikit pun mematah semangat KEADILAN untuk terus menerbitkan akhbar 'Obor Keadilan'.

"Parti akan terus terbitan akhbar tidak berkala sehingga pihak KDN dan Menteri hentikan sikap bermusuhan dengan Suara Keadilan dan sehingga kita perolehi permit penerbitan. Beri atau tidak beri parti akan terus dengan penerbitan akhbar. Tidak ada kompromi tentang itu," kata pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib.

No comments

Powered by Blogger.