Pendirian jelas Anwar dan KEADILAN tentang sikap agresif Zionis

Kenyataan Media Untuk Siaran Segera

2 Julai 2010

PETALING JAYA: Nasib rakyat Palestin dan peranan kerajaan zionis Israel menjadi masalah antarabangsa dan kemanusiaan, dan bukan untuk ahli-ahli politik Malaysia mengambil peluang menawan hati para pengundi orang-orang Melayu beragama Islam.

Bagi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), akan sentiasa bersikap adil dan melayan semua rakyat dengan saksama serta rakyat di negara lain yang tidak bernasib baik.

Empat pemimpin Umno telah menyuarakan pandangan mereka tentang pendirian Anwar Ibrahim berhubung sikap agresif Zionis, terutama mengenai artikel dalam "The Washington Post" yang disiarkan baru-baru ini.

Pemimpin-pemimpin Umno ini – Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin – lekas mengambil kesempatan ini untuk memutar belit kenyataan penulis, yang menulis:

Beliau (Anwar) berkata beliau kesal menggunakan istilah "tindakan agresif Zionis", yang biasa digunakan oleh pemimpin bersuara lantang seperti Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad.

"Kenapa saya perlu menggunakannya jika sekiranya ia boleh mencetuskan banyak salah faham?. Beliau berkata, "saya perlu lebih berhati-hati."

Sekiranya pemimpin-pemimpin Umno ini tidak dapat memahami bahasa Inggeris yang mudah ini, yang mendakwa Anwar kesal menggunakan istilah seperti yang digunakan oleh Mahmoud Ahmadinejad, ia akan menimbulkan salah faham dalam masyarakat antarabangsa.

Anwar kemudian secara merendah diri mengakui beliau perlu lebih berhati-hati cara beliau mengkritik kerajaan Zionis Israel, dalam situasi di mana tuduhan terhadap anti-semistik sangat berleluasa.

Kutuk serangan ganas terhadap kapal flotila Gaza

Bagaimanapun, pendirian Anwar dan KEADILAN tentang tindakan agresif ‘Zionis’ terhadap rakyat Palestin sangat jelas. Kami mengutuk serangan ganas terhadap kapal flotila Gaza baru-baru ini, diskriminasi yang berterusan, penindasan dan keganasan terhadap rakyat Palestin oleh kerajaan Israel, termasuk peranan Amerika Syarikat menyokong rejim ‘Zionis’.

Pada masa yang sama, kami menghormati semua hak orang-orang Yahudi terhadap keperluan perumahan dan hidup bersama secara aman di antara orang-orang Islam dan rakyat Palestin beragama Kristian. Malahan kami menolak diskriminasi, penindasan dan keganasan, di Malaysia dan di negara luar.

Mengenai sindiran Anwar rapat dengan orang-orang Yahudi Amerika, beliau secara terbuka menjelaskan bahawa mereka adalah kenalan beliau ketika beliau menjadi Menteri Kewangan Malaysia.

Anwar telah menggunakan setiap peluang yang beliau perolehi untuk membangkitkan isu Palestin dan mendesak supaya pertikaian di Timur Tengah ditamatkan segera.

Apa yang kerajaan pimpinan Umno telah lakukan? Menteri Pertahanan Zahid Hamidi telah mengadakan pertemuan sulit dengan rakan sejawatnya dari Israel. Muhyiddin dan Khairy menyokong keputusan Perdana Menteri Najib Tun Razak melantik Apco (yang disyaki mempunyai hubungan dengan Zionis) pada kadar bayaran RM77 juta setahun.

Dan lebih mengecewakan ialah tindakan Rais menggunakan kuasanya untuk memastikan media arus perdana mengikut rentak Umno-Barisan Nasional, yang kini menerima nasihat daripada Apco.

Jika sekiranya kerajaan Umno-BN mahu menyampaikan maklumat terkini tentang nasib rakyat Palestin dan menunjukkan pendirian mereka tentang tindakan agresif ‘Zionis’, sila arahkan media arus perdana menterjemah dan menyiarkan artikel sepenuhnya dari "The Washington Post" dan mengatur satu majlis debat melalui siaran terus menerus di antara Anwar dan Najib.

Biar semua rakyat Malaysia melihat dan mendengar sendiri apa yang dibuat oleh Apco di Malaysia.

Jonson Chong
Pengarah Komunikasi

No comments

Powered by Blogger.