Ibrahim Ali: Saya sedia ditahan ISA kali ke-3 kerana Perkasa

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 2 Julai — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sanggup ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) — buat kali ketiga — ekoran kenyataan beberapa pihak mendakwanya menerbitkan artikel berunsur hasutan dalam edisi sulung Suara Perkasa semalam.

“Saya bersedia untuk ditahan di bawah ISA bila-bila masa jika polis merasakan Perkasa ataupun saya menjadi mudarat kepada keselamatan negara,” kata beliau mengulas desakan agar disiasat oleh pihak berkuasa ekoran artikel dalam Suara Perkasa.

Edisi pertama akhbar itu muncul di pasaran semalam.

Ibrahim (gambar) kali pertama ditahan di bawah ISA selama dua tahun bermula 1974 dan kemudian selama 60 hari pada 1987.

“Saya pernah ditahan di bawah ISA dua kali meskipun saya menyokong kuat agar akta ini dikekalkan.

“(Ditahan) kali ketiga bermakna saya menerima (ijazah) PhD dari Amerika,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini berkata tiada masalah langsung bagi dirinya jikapun ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya tidak akan melarikan diri, tidak akan bersembunyi ataupun berusaha mendapatkan sokongan negara lain sebagaimana dilakukan oleh sesetengah pemimpin,” kata Ibrahim lagi.

“Saya bersedia untuk menerima cabaran dan memikul tanggungjawab penuh atas tindakan saya ini,” kata beliau lagi.

Ibrahim seterusnya berkata, beliau bukan seorang yang suka membuat kenyataan media tanpa berfikir panjang dan kemudian meminta maaf.

“(Mereka) semua ini adalah pengecut,” kata beliau.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mahu Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara Perkasa, terbitan Perkasa kerana menerbitkan rencana sulungnya meminta rakan sejawatan beliau dari MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan di bawah ISA.

“Saya merasakan bahawa jika benar laporan muka depan Suara Perkasa keluaran hari ini menggesa Wee ditahan di bawah ISA, maka saya merasakan Kementerian Dalam Negeri dengan serius wajar melihat perkara ini.

“Tindakan ini tidak betul, anda tidak harus menyiarkan kenyataan-kenyataan macam ini. Saya serius, tidak bergurau,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Saya merasakan adanya perbezaan ideologi antara saya dan ketua Perkasa Datuk Ibrahim Ali. Saya tidak bersetuju dengan Perkasa,” kata beliau sambil menambah, Perkasa tidak harus menghasut suasana yang tegang.

“Saya tidak membela Ka Siong, Perkasa tidak boleh menghasut ketegangan,” katanya.

Edisi sulung Suara Perkasa muncul “garang” semalam dengan tajuk “Tahan Ka Siong di bawah ISA” — laporan yang merujuk kepada Timbalan Menteri Pelajaran yang menjadi sasaran kecaman NGO itu minggu lalu.

Ibrahim sebelum ini memanggil Wee “biadap” dan menuduh beliau mempersoalkan kontrak sosial, yang menyebabkan pertengkaran antara dua pemimpin berkenaan.

Khairy juga minggu lalu melabelkan Ibrahim “gedebe politik”, pertikaman lidah yang berpanjangan dengan Ibrahim mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana mempertahankan Wee.

Wee sebelum ini dilaporkan meminta supaya program biasiswa Mara kepada pelajar Bumiputera perlu dimasuhkan bersama dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam.

Wee membuat kenyataan itu sebagai respons kepada keputusan kerajaan yang mahu memansuhkan sebanyak 1,500 biasiswa JPA.

Beliau merupakan antara pemimpin terbaru menjadi sasaran kecaman Perkasa, NGO yang ditubuhkan akhir 2008 susulan landskap politik negara selepas tsunami politik Mac 2008.

Ekoran artikel itu Wee juga sedang memikirkan tindakan ke atas akhbar itu dan Perkasa.

Ada pihak yang menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap Ibrahim kerana sering mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan.

No comments

Powered by Blogger.