Piala Dunia: Kecil Besar Bukan Penentu

PERTANDINGAN bola sepak Piala Dunia masuk peringkat suku akhir. Saya mengikutinya, tetapi tidaklah sampai jadi gila atau hilang akal.

Saya lebih mirip kepada geografi dan perangkaan. Jadi dari awal lagi saya bahagikan pilihan saya lebih kurang begini.

Apabila negara maju lawan negara membangun, saya sokong negara membangun. Bila negara besar lawan negara kecil, saya memihak kepada negara kecil dan bila negara Eropah/Amerika Syarikat lawan Asia, Afrika atau Amerika Selatan, saya memihak kepada Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

Kalau ada sedikit emosi pun bila New Zealand, Jerman atau Switzerland terbabit sebab New Zealand dan Jerman pernah bagi saya biasiswa belajar di negara mereka. Walaupun tidak lama, saya tetap berterima kasih. Switzerland pula kerana tiga orang cucu saya adalah warganegaranya dan mereka pun tinggal di sana.

Tetapi setakat ini New Zealand dan Switzerland sudah terkeluar, tinggal hanya Jerman. Jadi, bila Jerman lawan Argentina, saya akan berkecuali.

Kedua-dua pasukan istimewa -- Jerman taktikal dan disiplin manakala Argentina, seperti jurulatihnya, Diego Maradona, penuh aksi dan emonsi – mirip drama cinta dan kuasa Evita dan Juan Peron yang dipopularkan oleh lagu “Don’t Cry For Me Argentina”. Saya meramalkan kemenangan Jerman.

Jerman negara besar dan kaya. Penduduknya 82 juta dan pendapatan per kapitanya AS$34,212. Argentina ada 40 juta penduduk dengan pendapatan per kapita AS$14,560.

Bila Uruguay lawan Ghana, saya dalam dilema. Uruguay negara Amerika Selatan dan Ghana negara Afrika. Rasa-rasanya saya akan memihak kepada Uruguay kerana beberapa sebab. Pertama permainannya hebat dan konsisten dan kedua ia negara kecil. Penduduknya hanya 3.5 juta dan pendapatan per kapita mengikut pariti kuasa membeli (PPP) AS$9,425.

Tetapi saya juga mahu Ghana mara kerana ia satu-satunya negara Afrika yang tinggal. Walaupun Ghana lebih besar daripada Uruguay, tetapi ia miskin. Penduduk Ghana 23.8 juta dan pendapatan per kapita mereka hanya AS$1,591.

Dalam perlawanan Brazil-Belanda, saya mirip kepada Brazil kerana tanpa negara besar Amerika Latin itu, Piala Dunia bukan Piala Dunia. Tetapi saya turut kagum dengan Belanda. Walaupun ia antara negara terkecil di benua Eropah, namun tradisi bolanya hebat.

Brazil atau Brasil mempunyai 196 juta penduduk manakala Belanda 16.6 juta. Namun Belanda jauh lebih kaya daripada Brazil. Per kapita Belanda AS$39,938 berbanding Brazil AS$9,700. Jangkaan saya, Brazil menang.

Dalam perlawanan Sepanyol-Paraguay, sentimen saya memihak kepada Paraguay. Ini cerita gagah lawan pelanduk. Paraguay adalah David dan Sepanyol Golliath.

Sepanyol besar dan kaya. Penduduknya 46 juta dan pendapatan per kapitanya AS$29,689 manakala Paraguay kecil dan miskin dengan 6.8 juta penduduk dan per kapita AS$4,500.

Tetapi kalau Paraguay boleh seri 1-1 dengan Itali, johan bertahan, pada pusingan awal adalah tidak mustahil ia boleh “memalukan” Sepanyol. Siapa yang jaring dulu, besar kemungkinan menang.

Nampaknya, besar atau kecil, kaya atau miskin tidak menjadi persoalan lagi. Kita melihat bagaimana banyak negara kecil dan miskin berjaya ke pertandingan akhir di Afrika Selatan, manakala negara besar dan kaya kecundang.

Oleh sebab kita sedang menikmati bola sepak kelas dunia, saya tidak mahu sakitkan hati para pembaca dan pembahas dengan membabitkan pasukan boleh sepak negara.

Cuma saya keliru, pasukan Harimau kita itu menyerupai harimau yang mana – harimau liar di hutan belantara, harimau zoo, harimau sarkas atau harimau kertas? Itu saja yang nak tanya.

No comments

Powered by Blogger.