PM: Felda tetap akan saman Suara Keadilan

IPOH, 7 Julai — Felda tetap akan menyaman akhbar PKR, Suara Keadilan RM200 juta ekoran laporannya bulan lalu yang bertajuk “Felda Bankrap”, kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini.

Najib berkata demikian dalam ucapannya pada sambutan Hari Peneroka dan perasmian Maktab Rendah Sains Mara di Felda Trolak di sini pagi ini.

Felda mengemukakan notis menuntut ganti rugi RM200 juta dan permohonan maaf daripada Parti Keadilan Rakyat berhubung laporan akhbar mingguan parti itu pada Khamis lalu.

Selain akhbar milik PKR itu, notis tuntutan menerusi syarikat guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak, turut dihantar kepada penerbit akhbar itu, Syarikat Pelita

Koridor Sdn Bhd serta pencetaknya, Syarikat Percetakan NPK Sdn Bhd.

Bagaimanapun PKR dan pengurusan Suara Keadilan sudah memutuskan tidak akan memohon maaf dan tidak akan membayar satu sen pun.

Tuntutan itu dibuat berdasarkan kerosakan reputasi kepada Felda disebabkan tuduhan ia bankrap yang terkandung dalam Suara Keadilan bertarikh 22-29 Jun lalu.

“Pihak berkenaan (Suara Keadilan dan PKR) diberi masa tujuh hari untuk membayar ganti rugi berkenaan dan membuat permohonan maaf kepada Felda,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan Khamis lalu.

Dalam pada itu Najib berkata Felda telah membuat pelaburan bijak untuk kesejahteraan rakyat dan merupakan sebuah institusi yang berjaya tetapi dituduh bankrap oleh mereka yang sebenarnya bankrap idea, moral dan prinsip perjuangan.

Perdana Menteri berkata pihak yang mendakwa Felda bankrap telah membuat tuduhan liar yang tidak berasas serta melakukan satu dusta.

“Kita ada RM4 bilion kita labur, bukan joli katak bukan songlap. kita melabur untuk kesejahteraan peneroka,” katanya.

Lebih 10,000 peneroka dari tanah rancangan Felda seluruh negara menghadiri majlis itu yang berupa sambutan Hari Peneroka yang terbesar pernah diadakan.

Perdana Menteri berkata mereka yang membuat tuduhan itu juga tidak memahami prinsip perakaunan dan perniagaan.

No comments

Powered by Blogger.