Ranking IPTA: UUM pertikai keputusan MQA

ALOR SETAR, 21 Julai — Universiti Utara Malaysia (UUM) meminta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menjelaskan sebab universiti itu berada pada tahap yang kurang memberangsangkan di dalam ranking Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara).

Naib Canselor UUM, Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata penjelasan secara terperinci perlu diberikan bagi mengelakkan persepsi kurang baik terhadap universiti berkenaan kerana ia tidak berada pada tahap yang sama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkemuka lain sebaiknya dilihat seolah-olah setaraf dengan institusi pengajian tingi (IPT) yang baru ditubuhkan.

“Pihak universiti rasa ada beberapa penjelasan perlu dibuat oleh MQA kerana ia tidak menggambarkan situasi sebenar dan ada isu perlu dijelaskan.

“Menurut MQA, ranking kita jatuh tapi sebenarnya tidak dan ia boleh menjejaskan persepsi masyarakat terhadap universiti ini,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengumumkan bahawa tujuh IPTA dan 11 IPTS menerima pengiktirafan cemerlang atau di peringkat tier lima menerusi penarafan yang dikendalikan oleh MQA.

Menurut keputusan Setara 2009, UUM cuma berada di tier keempat iaitu Tahap Sangat Baik bersama dengan 10 IPTA baru dan 14 IPTS lain.

Penarafan yang melibatkan 58 universiti dan kolej universiti di dalam negara dilakukan setiap dua tahun bermula 2007, bagi mengukur kedudukan IPTA dan IPTS dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf IPT negara ke peringkat antarabangsa.

Mohamed berkata UUM juga berpendapat adalah tidak adil untuk dibandingkan taraf IPTA dengan IPTS kerana IPTS mempunyai dasar serta agenda yang berbeza berbanding IPTA yang tidak berorientasikan keuntungan.

“Kebanyakan IPTS lebih fokus kepada pengajaran semata-mata dan tidak mempunyai penerbitan atau kajian, manakala IPTA mendapat dana daripada kerajaan untuk menyediakan pendidikan kepada masyarakat,” katanya.

Katanya UUM tidak mahu ranking yang diumumkan itu menenggelamkan peranan sebenar UUM dan ia perlu diberi perhatian sewajarnya kerana boleh mengelirukan masyarakat. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.