Sekolah Tamil: Janji Tidak Ditepati

Berita Eksklusif

Oleh : G Vinod and B Nantha Kumar

LUKUT: Sebuah sekolah Tamil, beroperasi dari rumah kedai dua tingkat di sini, telah dijanjikan tanah oleh kerajaan Barisan Nasional, ketika kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang tahun lalu.

Seorang ahli Jawatankuasa Ibu Bapa dan Guru-Guru (PTA) SRJK (Tamil) Sungai Salak berkata, walaupun telah dijanjikan dengan tanah seluas enam ekar tetapi sekolah baru itu dibina di atas tapak tanah seluas tiga ekar sahaja.

"Ketika itu (pilihan raya kecil), sebuah lagi sekolah SRJK (T) Kem Askar Melayu telah dianugerahkan sebidang tanah bernilai RM1.8 juta untuk membina sekolahnya sendiri.

"Tetapi oleh beberapa sebab, sekolah itu enggan berpindah. Jadi kami meminta kerajaan negeri memberi tanah kepada sekolah kami," terang beliau, yang enggan mendedahkan identitinya.

Menurut beliau, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pro-kerajaan, MyNadi telah menolong mereka mendapatkan tanah tersebut ketika kemepn pilihan raya kecil itu.

"Kami sebenarnya telah bercakap dengan pembantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan perkara ini dibawa kepada pengetahuan Najib dan kami memperoleh tanah itu," katanya.

Beliau menambah, tanah seluas enam ekar itu diberi dengan syarat kedua-dua sekolah Sungai Salak dan Kem Askar Melayu dicantumkan.

Bagaimanapun, sekolah Kem Askar Melayu memilih untuk tidak bercantum dan masyarakat India di Sungai Salak rasa gembira memikirkan bahawa sekolah mereka akan mendapat tanah.

"Tetapi harapan kami berkecai. Pada September 2009, Kementerian Pelajaran telah menghantar surat memberitahu kami bahawa sekolah itu terpaksa berkongsi tanah itu dengan Jabatan Pendidikan Daerah yang baru," katanya.

Kementerian Pelajaran juga berjanji untuk mencari tiga ekar tanah lain di kawasan berdekatan dengan sekolah.

"Tetapi yang menjadi persoalan kami, kenapa enam ekar tanah itu tidak diberi kepada kami sedangkan tanah itu telah digazetkan untuk pembinaan dua buah sekolah?", soal beliau, dan berharap kerajaan menyelesaikan masalah ini.

Tidak layak menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan

Beliau memberitahu dengan membina sekolah itu di atas tapak tanah seluas tiga ekar, SRJK (T) Sungai Salak tidak layak menjadi institusi bantuan penuh kerajaan.

"Syarat kerajaan ialah sekolah mestilah dibina di atas tanah sekurang-kurangnya seluas lima ekar untuk layak menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan.

"Buat masa ini, tapak sekolah di bina di atas kawasan seluas tiga ekar. Saya tidak pasti sama ada kami masih layak menjadi sekolah bantuan penuh kerajaan," kata beliau.

Pada ketika ini, SRJK (T) Sungai Salak dibantu oleh PTA dan para penderma. Sekolah itu membelanjakan sebanyak RM1,400 sebulan untuk membayar sewa dan lain-lain perbelanjaan.

Sekolah itu berpindah ke sebuah rumah kedai selepas ia "dipaksa keluar" dari kawasan lain, di mana ia terpaksa berkongsi dengan SRJK (T) Spring Hills.

"Seorang pemimpin MIC tempatan mendesak sekolah Spring Hills supaya menyuruh kami keluar. Jadi selepas lima tahun, kami berpindah ke rumah kedai ini.

"Kami tidak mendapat walau sesen pun daripada kerajaan. Ibubapa dan beberapa penderma membelanjakan sebanyak RM80,000 untuk memindahkan sekolah ini," terang beliau.

Ahli PTA itu juga melahirkan rasa bimbang terhadap tapak baru sekolah itu.

"Saya bimbang mengenai keselamatan mereka. Ia dibina di suatu kawasan yang terpencil dikelilingi oleh pokok-pokok kelapa sawit. Manalah tahu, kanak-kanak mungkin menjadi mangsa binatang buas atau orang yang tidak bertanggungjawab," ujar beliau.

No comments

Powered by Blogger.