Tok Guru Perjelaskan Perkara Sebenar Isu Dari BERNAMA

Nik Aziz: ‘Kalau boleh tak perlu tanding, gunakan syura

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 4 Julai – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Aziz menjelaskan semalam beliau hanya mengesyorkan agar dielakkan pertandingan semasa pemilihan parti itu tahun depan atas alasan “memang tak molek bertanding” dan gunakan pendekatan bersyura.

Sehubungan itu kata beliau, beberapa media telah salah lapor dengan mendakwa sudah wujud bibit-bibit perpecahan menjelang pemilihan pucuk kepimpinan PAS tahun depan.

“Di sini diperturunkan maksud kenyataan saya ketika menjawab soalan wartawan berhubung kemungkinan berlaku pertandingan dalam pemilihan PAS tahun depan,” kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam kenyataan penjelasan dikeluarkan petang ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Aziz berkata beliau hanya menyebut “kalau boleh tidak perlu bertanding kerana memang tak molek bertanding, tetapi kalau mahu bertanding juga biarlah buat betul-betul, bertandinglah, jangan sampai peringkat perpecahan.”

“Ini luahan hati orang tua, tak mahu tengok perpecahan berlaku.

“Pengalaman saya sendiri yang pernah bertanding dalam dewan ulama satu ketika dulu, amat tidak comel. Baik kita cari cara yang lebih comel elak daripada perpecahan,” kata Nik Aziz.

“Moleknya, kita buat keputusan secara syura dan lantik ketua kita beramai-ramai. Ini cadangan saya. Tetapi saya tidak tahu sejauh mana syura dibenarkan oleh perlembagaan parti,” kata beliau lagi.

“Semoga penjelasan saya ini, dapat mengelakkan salah faham semua pihak, khususnya rakan-rakan pimpinan dalam PAS.

“Jangan mudah terpengaruh dengan semua laporan berkenaan, terutama Bernama dan akhbar yang nampaknya ada agenda tersembunyi di sebalik apa yang mereka laporkan. Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Kepada pihak akhbar cermatlah dan jauhilah daripada memfitnah,” kata Nik Aziz lagi.

Dalam laporan semalam Bernama menyebut kemelut perpecahan dilihat meruncing kerana beliau sendiri menyarankan agar tidak diadakan pemilihan bukan sahaja di peringkat tertinggi parti malahan diperingkat sayap parti iaitu Dewan Muslimat, Ulama dan Pemuda.

Sehubungan itu, Nik Aziz berkata pemilihan untuk kepimpinan perlu diadakan secara perbincangan ataupun melalui syura dan bukannya dengan meletakkan calon untuk bertanding bagi kerusi kepimpinan parti itu dalam muktamar ke-57 nanti.

“Tok soh (tidak perlu) bertanding. Tidak molek (tidak elok) la. Nak bertanding pun jangan sampai ke peringkat perpecahan.

“Ini luahan hati seorang tua (luahan daripada orang yang sudah lama di dalam PAS),” katanya selepas menghadiri sambutan jubli perak sebuah pondok agama di Bukit Payung semalam.

No comments

Powered by Blogger.