Ulama muda: ‘Kami bukan wakil Asri di Umno’

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 2 Julai — Kumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno minggu lalu menafikan dakwaan mereka mahu menerapkan pemikiran bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan menganggotai parti itu.

Jurucakap kumpulan ulama muda itu, Fadlan Mohd Othman, dakwaan yang dibuat itu adalah tidak benar sama sekali kerana Asri tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tindakan kumpulan tersebut menyertai Umno.

“Kami menyertai Umno adalah untuk berdakwah kepada masyarakat dengan berlandaskan al-Quran dan sunnah.

“Jadi apa sahaja yang berkaitan dengan al-Quran dan sunnah kita akan terima termasuk daripada Asri. Mudah kata sesiapa yang berada di pihak yang betul kami akan sokong,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata mungkin masyarakat melihat ada persamaan pandangan antara kumpulan ulama itu dengan Asri sehingga menimbulkan salah faham.

“Sebenarnya Asri tiada kena-mengena langsung dengan kami, mungkin ada persamaan tetapi hakikat kami berbeza,” kata pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Fadlan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad mendakwa kumpulan ulama tersebut adalah pengikut Asri dan mempunyai agenda tersendiri apabila menyertai parti itu.

Nakhaie berkata Asri menghantar pengikutnya supaya aliran pemikiran dan idealoginya dapat disalurkan ke dalam kepimpinan Umno.

“Ulama yang menyertai Umno baru-baru ini adalah pengikut Asri yang dihantar untuk menyampaikan aliran pemikiran beliau ke dalam Umno.

“Asri menghantar ulama ini dengan harapan mendapat kedudukan yang penting dalam Umno ataupun kerajaan.

“Jadi apabila sudah ada kedudukan yang baik mudah untuk mereka terapkan idealogi Asri,” kata Nakhaie merupakan bekas naib presiden PAS yang menyertai Umno dua dekad lalu.

Kumpulan 40 ulama muda menyerahkan borang penyertaan ahli Umno kepada Presiden Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu.

Seorang lagi anggota kumpulan ersebut, Fathul Bari Mat Jahya (gambar) juga menegaskan, pihaknya tidak mempunyai sebarang agenda apabila membuat keputusan untuk menyertai Umno kecuali mahu berdakwah kepada masyarakat.

“Kami hanya mahu berdakwah dengan mendekatkan masyarakat kepada agama dengan berlandaskan al-Quran dan sunah.

“Jadi mana-mana pandangan yang tidak bertentangan dengan agama kami akan terima termasuk daripada Asri,” katanya.

Beliau juga meminta supaya tokoh agama di negara ini supaya berganding bahu demi masa depan masyarakat.

“Ini bukan masa untuk kita berbalah antara satu sama lain.

“Sepatutnya kita perlu berganding bahu untuk mendekatkan masyarakat kepada agama,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.