Aidilfitri: Anwar seru rakyat terus jana perubahan

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat negara ini yang akan menyambut Aidilfitri esok agar terus berusaha menjana perubahan supaya tidak tergelincir dari “fitrah yang murni dan luhur.”

“Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Parti Keadilan Rakyat mengucapkan Salam Aidilfitri kepada seluruh umat Islam.

“Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara kita yang berada dalam penderitaan walau di mana pun mereka berada.

“Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi,” kata beliau dalam perutusan sempena Aidilfitri dikeluarkan hari ini.

Penasihat PKR ini menambah, sambutan Aidilfitri, salah satu dari maknanya adalah hari di mana “kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian.”

Justeru kata beliau, Ramadan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam.

“Sering diungkapkan bulan yang mulia itu madrasah ampuh buat melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.

“Malangnya sepanjang Ramadan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecahbelahkan sesama kita,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh ini.

Anwar menjelaskan, menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya.

“Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk.

“Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai,” kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.