Hormatilah Presiden dan perlembagaan parti

Oleh Zaid Ibrahim

Pencalonan bagi pemilihan langsung Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah pun berlangsung di seluruh negara, dan saya diberitahu ada beberapa cabang parti telah mencalonkan saya sebagai Timbalan Presiden.

Dengan ini saya telah memenuhi syarat untuk menawarkan diri kepada ahli-ahli Keadilan membuat pilihan pada 29 Oktober nanti. Beberapa Cabang yang saya tak pernah temui seperti Padang Rengas, Tampin, Jerantut dan lain-lain, terus juga memberi pencalonan mereka.

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan terhadap keyakinan mereka. Selepas ini saya akan ke seluruh negara untuk bertemu dengan para ahli parti. Saya akan menjelaskan beberapa perkara pokok di pertemuan ini.

Dalam utusan blog hari ini, saya ingin menulis mengenai perkara yang selalu di bibir penganalisa politik. Adalah tanggungjawab Timbalan Presiden untuk memberi sokongan dan bantuan sepenuhnya kepada Presiden sesebuah parti. Bagi Timbalan pula, kesetian kepada parti bererti taat setia kepada Presiden dan menolong beliau dalam menjalankan tugas-tugasnya. Timbalan Presiden mesti mengimbangi atau "complement" kekuatan Presiden. Hanya dengan cara itu prestasi dan imej parti kita akan jadi lebih baik.

Kita tidak boleh membiarkan Presiden kita dianggap oleh sesetengah pihak hanya sebagai lambang. Terlalu kerap saya dengar bisikan mengenai kononnya Wan Azizah bukan ketua sebenar. Malah ada pula yang berkata beliau tidak ada kuasa. Keadaan ini berlaku kerana ada di kalangan kepimpinan parti yang kurang menghormati jawatan Presiden. Kepimpinan parti lebih selesa memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Ketua Umum, iaitu Anwar Ibrahim. Saya juga memberi kepercayaan dan sokongan penuh kepada Anwar Ibrahim, kerana dia pengasas parti dan juga Ketua Pembangkang tetapi dari segi struktur parti buat masa ini beliau hanya ahli biasa.

Kalau saya menang, saya akan membantu Presiden memenuhi tanggungjawab beliau. Presiden parti tidak akan dianggap sebagai lambang semata-mata. Kalau kita dari parti Keadilan tidak hormati jawatan Presiden kita yang sah kerana kita berpuas hati Presiden itu hanyalah lambang (walaupun dia berkuasa penuh mengikut Perlembagaan parti); apa jaminan kita akan menghormati Perlembagaan Negara bila kita berkuasa nanti?

Pemilihan ini adalah peluang bagi ahli-ahli Keadilan untuk membuat keputusan berikut: Siapakah antara calon yang lebih berkebolehan, lebih mampu menolong dan menghormati Presiden parti Keadilan.

Wan Azizah telah banyak membuat pengorbanan termasuklah meletakkan jawatan beliau sebagai ahli Parlimen demi keperluan suaminya dan PKR. Pengorbanan ini adalah pengetahuan umum. Sebagai ahli PKR, saya percaya dengan kepimpinan dan kebolehan Presiden parti; dan sebagai calon untuk jawatan Timbalan Presiden saya ingin menyokong beliau dalam usaha beliau dan dengan ikhlasnya meneruskan dan mengukuhkan dasar reformis parti untuk menunjukkan bahawa PKR mampu memenuhi perubahan yang dinanti-nantikan ahli-ahli parti dan rakyat Malaysia.

*Tulisan ini dipetik dan disunting daripada blog Zaid Ibrahim, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri yang kini menyertai Pakatan Rakyat. Zaid Ibrahim kini sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

No comments

Powered by Blogger.