Interaksi Terbaik Dengan al-Quran

www.iluvislam.com
Dihantar oleh : skyjamil
Editor: Rasailul Ashwaq

Satu peristiwa yang amat penting kepada umat Islam ialah penurunan al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Pada setiap Ramadan, Rasulullah s.a.w. bertadarus, belajar dan memahami al-Quran daripada Jibrail. Ia bukan sekadar membaca tetapi yang lebih penting ialah memahami dan memerhati serta melaksanakan tuntutan al-Quran. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : "Tidak ada satu kaum yang berhimpun pada satu rumah Allah daripada rumah-rumah Allah yang membaca al-Quran dan belajar memahaminya dikalangan mereka melainkan Allah menurunkan rahmat dan ketenangan, dilindungi oleh para malaikat dan diingati oleh Allah disisi-Nya".

Firman Allah, maksudnya: "Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran untuk memberi panduan kepada manusia dan keterangan yang nyata.
(Al-Baqarah: Ayat 185)

Al-Quran merupakan cahaya yang menerangi akal, jiwa dan hati manusia serta panduan kepada sistem kehidupan manusia. Ia menjawab persoalan yang sentiasa terpahat dalam pemikiran manusia mengenai dirinya sendiri sejak sekian lama iaitu dari mana ia datang, apakah tujuan hidup dan ke mana ia akan pergi. Kenapa kehidupan ini adanya hidup dan mati. Al-Quran menjawab kesemua persoalan tersebut.

Firman Allah, maksudnya: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah memimpin orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan."
( Al-Ma'idah: Ayat 15-16)

Kedatangan manusia di atas muka bumi ini membawa amanah dan kehidupannya bukan untuk sehari atau setahun sepertimana pendapat segolongan yang mengatakan bahawa yang memisahkan hidup dan mati adalah masa sahaja. Al-Quran menegaskan bahawa manusia ini dijadikan untuk mendiami akhirat untuk selama-lamanya dan kematian itu bukan sebagai penghabisan hidup malahan manusia akan berpindah dari satu negeri yang bersifat sementara ke dunia yang kekal abadi.

Firman Allah, maksudnya: "Kami jadikan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya." Melalui al-Quran manusia mengetahui tujuan dan matlamat hidupnya serta tugasnya sebagai hamba Allah yang memakmurkan bumi ini."
(Al-Mulk: Ayat 2)

Keistimewaan al-Quran sebagai 1dastur Ilahi ialah ia merupakan kitab yang lengkap, sempurna dan tidak mengandungi sebarang kecacatan. Al-Quran menerangkan serta meletakkan asas-asas umum yang diperlukan oleh manusia.

Firman Allah, maksudnya: "Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri kepada Allah."
(An-Nahl: Ayat 89)

Keduanya ialah al-Quran merupakan kitab yang mudah dan senang diingat. Allah memudahkan kepada umat Islam menghafal al-Quran serta memeliharanya daripada penyelewengan. Tidak ada satu kitab yang dihafal oleh jutaan orang melainkan al-Quran. Kitab injil juga tidak dihafal oleh tokoh-tokoh agama mereka. Sedangkan al-Quran dihafal oleh kanak-kanak Muslim walaupun bahasa Arab bukan bahasa ibunda mereka.

Firman Allah, maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami memudahkan al-Quran untuk diingati, maka adakah orang mahu mengambil pelajaran."
(Al-Qamar: Ayat 17)

Keistimewaan ketiga ialah al-Quran merupakan kitab yang adil sepertimana keadilan Allah kepada hamba-hambanya tanpa mengira pangkat, keturunan, warna kulit, lelaki ataupun wanita.

Keistimewaan keempat ialah al-Quran ini kekal dan sesuai untuk semua zaman dan tempat. Al-Quran bukan merupakan panduan untuk satu bangsa atau untuk satu zaman tetapi ia merupakan pembawa rahmat seluruh alam. Al-Qaradawi menyebutkan bahawa al-Quran merupakan sebab kejayaan dan keberkatan orang-orang Islam awal pada zaman Rasulullah. Kehadiran al-Quran telah merubah jiwa, perwatakan dan diri bangsa Arab sehingga mereka dapat membina tamadun ilmu dan iman.

Dalam konteks kini, bagaimana sikap dan interaksi umat Islam dengan al-Quran sedangkan kita mengetahui bahawa apabila kita berpegang dan memahami al-Quran, kita merupakan umat yang terbaik dan termaju. Sebenarnya, umat lain menyedari keadaan kaum Muslimin terhadap al-Quran. Oleh itu, kita dapati beberapa siaran radio antarabangsa memperuntukkan waktu untuk menyiarkan program harian untuk bacaan al-Quran. Mereka berbuat demikian kerana mereka yakin umat Islam hari ini hanya mampu mendengar tetapi tidak memahaminya. Mereka yakin umat Islam tidak akan berubah sikap walaupun mendengar ayat-ayat al-Quran pada setiap hari dan seribu kali sekalipun. Ini disebabkan umat Islam tidak menghiraukan lagi al-Quran yang telah memberi penghormatan yang tertinggi kepada manusia. Rasulullah pernah mengadu kepada Allah mengenai sikap umatnya yang menjadikan al-Quran suatu yang tidak diacuhkan.

Firman Allah, maksudnya: "Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini suatu yang tidak diacuhkan."
(Al-Furqan: Ayat 30)

Buta terhadap al-Quran akan menyebabkan umat Islam menghadapi penyakit umat terdahulu iaitu mereka tidak membaca kitab-kitab Taurat dan Injil kecuali untuk angan-angan belaka.

Firman Allah, maksudnya: "Dan di antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui al-Kitab (taurat), kecuali angan-angan belaka."
(Al-Baqarah: Ayat 78)

Buta al-Quran bukan sekadar tidak tahu membaca sepertimana dalam pengertian umum tetapi maksud buta al-Quran yang kita alami kini ialah kehilangan ilmu pengetahuan yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Kita tidak memanfaatkan segala dimensi-dimensi ilmu yang ada pada al-Quran seperti ilmu kemasyarakatan, ilmu jiwa dan ilmu akhlak. Oleh itu, kaum Muslimin perlu menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan ilmu pengetahuan yang tepat tentang pandangannya terhadap insan, kehidupan dan kewujudan manusia serta pandangannya tentang fitrah kemanusiaan dan sosial.

Pengabaian perkara ini yang mengakibatkan gersangnya pemikiran dan perspektif al-Quran dalam realiti kehidupan kita. Lantas al-Quran yang menjadi sumber kekuatan umat bertukar menjadi beku dan diawet dalam lipatan sejarah. Hal ini disebabkan world view yang terbina dalam pemikiran kita semenjak kecil bahawa al-Quran tidak perlu ditampilkan kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu seperti menghadapi saat-saat kematian, menziarahi kubur atau dibaca untuk menghiburkan orang-orang yang sakit tenat, selaku bacaan yang menjadi permainan mulut. Akibatnya umat Islam tidak mampu lagi berurusan dengan al-Quran secara terbaik.

Sebenarnya objektif al-Quran adalah untuk membentuk manusia. Oleh yang demikian, tuntutan al-Quran ialah menyuruh manusia berfikir, memahami, membuat penelitian dan percubaan serta mengetahui motif-motif dan sebab musabab sesuatu. Skopnya perlu diperluaskan hingga untuk mengetahui masa hadapan.

Firman Allah, maksudnya: "Dan sesungguhnya kamu mengetahui kebenaran berita al-Quran setelah beberapa waktu."
(Sad: Ayat 38)

Tuntutan al-Quran yang paling penting kini ialah melihat 2kesyumulan dan kesepaduan perspektif al-Quran terhadap hubungan dengan Allah, sesama manusia dan alam. Sementara itu, tafsir bertema merupakan aliran tafsiran baru yang dapat menonjolkan matlamat Islam. Muhammad al-Ghazali berpendapat tafsir bertema ialah menggarap sesuatu surah dengan seutuhnya, melakar gambaran menyeluruh dan menghubungkaitkan kesepaduan serta kaitan bahawa awalnya ialah pengantar dan penghujungnya ialah kebenaran kepada pengantar. Ia mengumpul dan menyusun kesemua ayat-ayat yang berkaitan dengan sesuatu tema untuk melihat bagaimana al-Quran menangani konsep secara padu dan utuh. Tafsir bertema dapat mengemukakan alternatif dan menonjolkan matlamat dan 3maqasid al-Quran. Ia juga mampu mengemukakan 4manhaj dakwah dan 5islah menurut perspektif al-Quran yang sebenar. Di samping itu, metode tafsir yang paling ideal untuk membimbing manusia mengenal pelbagai petunjuk yang terkandung dalam al-Quran.

Sepatutnya umat Islam bukan sahaja mengelokkan bacaan semata-mata tetapi juga hendaklah 6tadabbur seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Mereka membaca, meneliti, memahami dan melaksanakan suruhan al-Quran dan kemudian baru berpindah ke ayat lain. Apabila para sahabat mendengar al-Quran terkesan penghayatannya dalam jiwa mereka. Pernah Saidina Umar bin Abdul Aziz mengulangi ayat 22-24 surah al-Saffat sepanjang malam sehingga waktu subuh sambil menangis kerana terkenang jikalau dia termasuk antara orang yang dihumban ke dalam api neraka akibat melakukan kezaliman di atas dunia ini.

Syeikh Muhammad al-Ghazali mengulas mengenai sikap umat Islam terhadap al-Quran dengan katanya "Sikap dan pendirian kaum Muslimin terhadap al-Quran yang telah memberi penghormatan kepada mereka sungguh menyedihkan. Semenjak beberapa kurun, dakwah al-Quran telah dibekukan, risalah Islam laksana sungai yang telah kering airnya atau piala yang disumbat mulutnya." Oleh yang demikian, proses interaksi dengan al-Quran yang terbaik ialah memahami dan menyelami makna serta maksud. Perkara ini amat penting supaya menghasilkan 7izzah yang selama ini telah hilang di tangan umat Islam.

Rashid Rida pernah menyebutkan bahawa kebangkitan umat bertitik tolak daripada prinsip al-Quran yang akan mengerah dan mengarah seluruh kekuatan akal dan jasad untuk kesempurnaan jiwanya dan kesejahteraan bangsanya. Revolusi itu akan membebaskan akal insani dan kemanusiaan daripada perhambaan yang dicipta oleh orang-orang yang menganggap dirinya memiliki sifat 8rububiyyah. Revolusi kemanusiaan semacam itu hanya mungkin terjadi melalui prinsip al-Quran. Al-Quran merupakan lambang dan suntikan kepada revolusi dalaman untuk membina umat yang mulia.

Al-Quran diturunkan untuk diamalkan, bukan diturunkan untuk menghias dinding-dinding rumah, bukan diturunkan untuk dibaca kepada orang-orang mati tetapi diturunkan untuk menjadi panduan bagi orang yang hidup. Al-Quran diturunkan untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya Ilahi. Manusia berkata, "Kami hendak mengambil berkat dari al-Quran." Apakah itu berkat? Sedangkan kita tidak pernah mengikuti perintah al-Quran. Berkat itu terletak pada orang-orang yang mengikuti kitab hidayah ini.

Firman Allah, maksudnya: "Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran."
(Sad: Ayat 29)

Malangnya, kita tidak beramal dengan al-Quran sepenuhnya. Umat surah al-Syura tetapi tidak beramal dengannya, umat surah al-Hadid (besi) tetapi tidak menguasai teknologi bidang tersebut, umat surah al-Alaq yang dimulakan dengan Iqra' tetapi tidak membaca malahan masih ramai lagi yang jahil tentang agama Islam. Di manakah kedudukan umat Islam sekarang dengan al-Quran? Oleh itu, perlulah kita bermuhasabah interaksi kita dengan al-Quran dengan menghayati falsafah penurunannya, konsep dan metode penafsiran terkini sebagai panduan dalam kehidupan manusia.

Hasil tulisan: Mohd Rumaizuddin Ghazali (Timbalan Presiden ABIM)

Glosari

1Dastur: Layar kecil sbg tambahan kpd layar besar.
2Syumul: Bersifat menyeluruh dan sempurna.
3Maqasid: Kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat.
4Manhaj: Kaedah, cara.
5Islah: i) Usaha utk mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai; ii) Penyelesaian perbalahan dengan jalan baik atau dengan jalan damai.
6Tadabbur: Memerhati, memikir dan menghayati.
7Izzah: Kemuliaan atau kehormatan (diri).
8Rububiyyah: Pegangan yang pasti dan kukuh bahawa Allah sahaja pencipta, pemberi rezeki, menghidupkan, mematikan, mentadbir sekalian urusan makhluktanpa ada sekutu bagi Allah dalam urusan-urusan tersebut.

No comments

Powered by Blogger.