Jangan Jadikan Bukit Aman Medan Hentam-Menghentam

Oleh JEFRI ZACHARIAH

Saya masih ingat, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff pernah 'menghentam' Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau sekarang ini dikenali sebagai SPRM sewaktu dalam satu sidang media di Bukit Aman kira-kira tiga tahun lepas.

Dalam sidang akhbar itu, Ramli kesal kerana beliau percaya yang BPR telah bertindak tidak adil ke atas dirinya kerana bagi beliau, BPR tidak boleh sekali-kali membocorkan maklumat siasatan terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan awam. Mereka, menurut Ramli, tidak boleh beritahu kepada siapa-siapa termasuklah pemberita atau media.

" Sebab itulah (BPR) tidak adil kepada saya. Belum apa-apa lagi sudah keluar macam itu. Semua orang sudah tahu, orang menuding jari pada saya kononnya saya menerima atau memiliki RM27 juta. Saya fikir tidak adil sebelum disiasat, sudah menghukum saya dan buat andaian," katanya kepada wartawan dalam sidang media tersebut.

Kali ini peristiwa yang sama berulang lagi. Tetapi kali ini yang 'menghentam' adalah Ketua Polis Negara sendiri, Tan Sri Musa Hassan manakala yang 'dihentam' adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Saya tidak mahu ada pihak beri arahan salah. Arahan mesti dari polis, bukan dari orang luar. Malah, ada pegawai-pegawai saya yang dikawal. Tindakan sedemikian salah dan membelakangkan undang-undang," katanya

Bagi Musa, kenyataannya itu sekaligus mengesahkan yang luahannya berhubung campur tangan pihak ketiga dalam tugasnya sebagai KPN sebelum ini, adalah merujuk kepada KDN.

Eloklah tu, Ramli hentam BPR, Musa hentam KDN. Lepas ni siapalah pula agaknya di Bukit Aman itu hendak meneruskan 'hentaman' secara terbuka ini.

Dalam soal Musa ini, terus terang, saya menyanjung tinggi di atas keberaniannya membuat kritikan terbuka itu tetapi pada masa yang sama, saya bimbang ia akan menjadi budaya di Bukit Aman ini.

Sepatutnya sebagai penjawat awam yang telah 41 tahun berkhidmat, Musa tentu tahu batasan-batasan yang beliau perlu patuhi.

Setiap tempat di mana kita cari makan, ada undang-undang dan peraturan yang perlu kita akur. Tak kisahlah kita ini operator kilang ke atau KPN sekalipun.

Hari ini KPN bidas KDN, andaikata esok si Konstabel panggil media dan bidas Sarjannya pula bagaimana?

Saya tak rasa Musa begitu tertekan hingga sanggup membidas KDN secara terang-terangan sepertimana yang telah beliau lakukan itu.

Andai kata Musa sakit hati sekalipun dengan KDN, beliau masih ada Perdana Menteri untuk beliau luahkan apa yang tersirat dan terbuku dalam mindanya

Come on lah, sudah tentu beliau mempunyai akses untuk bertemu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak pada bila-bila masa yang beliau mahukan, orang nombor satu dalam PDRMlah katakan.

Bukan apa, luahan beliau ini pasti akan mengundang kiritikan kerana ia hanya dibuat saat-saat akhir sebelum beliau melepaskan jawatannya.

Orang akan bertanya, kenapa sekarang dan tidak sebelum ini?

Kenapa bila kerajaan menyambung kontraknya dulu, Musa tidak pernah membangkitkan isu ini tetapi bila dah nak bersara, baru beliau sibuk hentam sana, hentam sini

Kritikan Musa pada KDN juga tidak adil kerana beliau tidak mendedahkan siapa yang dalam kementerian itu yang campur tangan dalam jabatannya.

Kalau betul Musa kata beliau ikhlas, nyatakan saja orang yang dimaksudkannya, adakah pak Menteri, Timbalan Menteri atau KSU sendiri, atau siapa-siapa lain dalam kementerian tersebut yang beliau percaya telah membelakanginnya sebagai KPN

Itu baru 'gentlemen' Tan Sri...jangan buat macam baling batu sembunyi tangan.

Musa mungkin marah dengan isu campurtangan ini, tetapi Musa juga kena ingat yang orang KDN pun marah juga dengan bila mendengar kritikan terbuka yang dilemparkan ke atas mereka

Dan yang lebih penting daripada itu, kritikan Musa hanya akan melemahkan moral lebih 80,000 anggota dan pegawai polis itu sendiri

Anggota dan pegawai ini akan merasakan yang tugas mereka boleh 'dicarcamarba' oleh pihak ketiga walhal tuduhan Musa itu belum tentu benar 100 peratus seperti mana yang didakwa.

Dalam erti kata lain, saya berharap selepas ini Bukit Aman tidak lagi digunakan untuk meluahkan isi hati dan kritikan terbuka seperti ini.

Selagi ada saluran yang betul, gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya.

Akhir sekali pihak yang untung tentulah media kerana dapat rating yang tinggi atau akhbar mereka laris di pasaran sedangkan mereka di Bukit Aman terus dok 'bergelut' dengan rasa marah dan ketidakpuasan hati.

Jangan jadikan Bukit Aman sebagai tempat lepas geram, bukan apa, takut juga lepas ni Bukit Aman tidak lagi seaman namanya.

No comments

Powered by Blogger.