Khalid: Anak Syarikat MBI Bakal Terima Bonus Hari Raya

Oleh: MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

SHAH ALAM – Media memainkan peranan penting dalam mengimbangi keberkesanan dasar dan agenda kerajaan. Pemaparan isu-isu dan berita-berita yang tepat, benar dan bertanggungjawab amat penting dalam proses ini.

Bagaimanapun sikap pro dan anti kerajaan yang keterlaluan boleh menyebabkan peranan sebenar media diketepikan. Begitu juga komitmen Kerajaan Selangor dalam mengamalkan konsep kebertanggungjawaban, kecekapan, dan ketelusan dalam pentadbiran tidak mungkin tercapai sekiranya komunikasi songsang disalurkan kepada rakyat.

Menyedari hakikat ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu kerjasama dan hubungan baik antara pihaknya dengan pengamal media dipertingkatkan supaya rakyat mendapat maklumat yang jelas khususnya perkembangan semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang sudi menerima jemputan Pejabat Menteri Besar untuk bersama-sama mengadakan majlis iftar iaitu majlis berbuka puasa dan juga supaya kita dapat merapatkan lagi silaturrahim kita dan dapat bersama menjalankan satu kerjaya demi untuk memberitahu masyarakat tentang perkara-perkara yang berlaku di negeri Selangor dan juga Malaysia dengan usaha bahawa komunikasi ini akan merangsangkan rakyat untuk bekerjasama membangunkan negeri dan negara”, Abdul Khalid berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Selangor bersama Media di Kelab Shah Alam malam tadi.

Sementara itu mengulas kepada bantuan khas hari raya kepada kakitangan anak syarikat milik kerajaan negeri, beliau menjelaskan pihak bersetuju pemberian tersebut turut diberikan kepada semua anak syarikat di bawah tadbir urus Menteri Besar Diperbadanakan (MBI).

Beliau berharap bantuan ini dapat meringankan beban kakitangan jentera kerajaan negeri dan menghargai usaha mereka membantu dalam menyebar luas agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sejak 2 tahun lepas.

“Kita sudah cadangkan kepada semua anak syarikat dalam MBI untuk memberikan wang Hari Raya sekurang-kurangnya sebanyak RM500 setiap warga kerja dan untuk syarikat MBI kita telah bersetuju untuk memberikan wang, bukan bonus tapi wang hari raya sejumlah RM1,000 satu warga kerja”, katanya.

Seramai 200 para pengamal media hadir pada majlis itu.

Terdahulu Abdul Khalid mengumumkan semua kakitangan kerajaan negeri terbabit bakal menerima bayaran bantuan khas hari raya sebanyak RM500 sebelum 1 Syawal sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan ini.

Seramai 9,089 kakitangan awam bakal mendapat manfaat daripada keputusan ini yang melibatkan kos pembayaran sebanyak RM4.5 juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan bayaran khas sebanyak RM250 kepada 5,297 guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (KAFA) yang melibatkan RM1.3 juta.

No comments

Powered by Blogger.