Kemenangan Chelsea sudah hampir dalam tangan

Kelab kerdil Slovakia tetap berazam walau berdepan juara England

Yusoff A. Rahman

ANDA kenal pasukan MSK Zilina?

Jawapannya, mungkin tidak.

Pernahkah anda mendengar nama-nama pemain seperti Robert Jez, Admir Vladovic dan Momodou Ceesay?

Jawapannya juga barangkali tidak.

Tetapi itulah seteru pertama yang akan ditentang oleh Chelsea dalam kempen pertandingan bola sepak Liga Juara-Juara Eropah Kumpulan F di Pod Dubnom hari ini.

Berbanding dua lagi pasukan yang bersaing dalam kumpulan ini iaitu Marseille dan Spartak Moscow, nama Zilina dan para pemainya adalah begitu asing di kalangan peminat bola sepak pertandingan ini.

Melihat pada reputasi Chelsea yang bertaburan dengan bintang selain kejayaan kelab Stamford Bridge itu menyumbatkan 17 gol selepas hanya empat perlawanan Liga Perdana, tentunya anak buah Carlo Ancelotti tidak akan menghadapi kesulitan untuk memporak-perandakan pasukan tuan rumah nanti.

Tetapi jurulatih pasukan Zilina, Pavel Hapel, sempat memberi semacam peringkatan lembut kepada juara England itu.

'Kami ingin membuktikan kepada penyokong bahawa kami mampu beraksi dengan corak permainan yang berkualiti. Tentu sekali juga kami mahu memungut mata apabila menentang Chelsea nanti,' beliau memberitahu.

Itu bermakna kelab ketiga dari Slovakia yang berjaya melayakkan diri ke pusingan kumpulan - selepas FC Kosice pada musim 1997-98 dan Artmedia Petrzalka pada musim 2005-2006 - tidak akan mudah menyerah kalah semata-mata berhadapan reputasi pasukan dari Stamford Bridge itu.

Lebih-lebih lagi pasukan itu telah berhempas pulas mengatasi setiap cabarannya, pertama menyingkirkan Birkirkara dari Malta, kemudian mengetepikan Litex Lovech dari Bulgaria dan terakhir membenam Sparta Praque dalam perlawanan-perlawanan di pusingan kelayakan.

'Kejayaan kami melayakkan diri ke pusingan kumpulan adalah begitu bermakna bukan sahaja kepada kelab, bahkan kepada bandar kami. Kejayaan itu bererti nama pasukan kami berada dalam peta bola sepak dunia,' demikian pengakuan kapten pasukannya, Jez.

Dan seperti Chelsea, pasukan tuan rumah juga mempunyai rekod cemerlang dalam liga domestik dengan menduduki tangga pertama dengan 16 mata selepas lapan perlawanan.

Dalam perlawanan terakhirnya, Zilina menewaskan Tatran Presov 2-1.

Tetapi apa jua pencapaiannya, sukar membayangkan pasukan itu mampu menguji gugat Chelsea yang dijangka tanpa dua tunggaknya, John Terry dan Didier Drogba.

Jika digunakan istilah tinju, pertarungan ini barangkali diibaratkan pertemuan kelas light dengan heavy lebih-lebih lagi Frank Lampard akan kembali memantapkan kekuatan midfield Chelsea setelah menjalani pembedahan hernia.

Selain itu, Michael Essien, tunggak midfield dari Ghana, kini turut menemui sentuhan cemerlang dan turut menjadi penyumbangkan gol-gol Chelsea seperti semasa kemenangan 3-1 ke atas West Ham United.

Kurang percaya, kita lihat rekod pertemuan pasukan ini dalam pusingan kelayakan pada 2003.

Di Pod Dubnom, Chelsea menang 2-0 dan di Stamford Bridge pula, pasukan tuan rumah membelasah Zilina 3-0.

'Chelsea adalah pasukan pilihan untuk menjadi juara kumpulan ini,' demikian pengakuan kapten Zilina itu.

Tetapi dalam bola sepak, pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti nasib yang menimpa Manchester United.

Siapa terfikir Everton yang tercicir 1-3 boleh menyambar dua gol pada minit-minit terakhir permainan.

Justeru, pemain Chelsea seperti penjaga gawang, Petr Cech, turut mengingatkan rakan-rakannya supaya tidak meremehkan keupayaan pasukan tuan rumah.

Apa kata penjaga gawang dari Republik Czech itu?

'Kejayaan Zilina mengatasi segala cabarannya dalam pusingan kelayakan bermakna pasukan itu juga mempunyai kualiti.

'Bahkan, adalah berbahaya meremehkan sebarang pasukan dalam pertandingan ini. Ia boleh membawa padah,' jelas Cech.

Benar kata penjaga gawang Chelsea itu.

Tetapi sukar membayangkan Chelsea akan tercicir mata.

Chelsea akan menang seperti pertemuan musim 2003. Maksudnya, dengan kelebihan dua gol.

No comments

Powered by Blogger.