KENYATAAN MEDIA DR. SYED HUSIN ALI TENTANG ISU PERKASA - NURUL IZZAH

Sekurang-kurangnya tiga orang menteri kanan, termasuk PM Najib telah
menegur atau mengecam pandangan yang dikemukakan serta cabaran yang
dibuat oleh YB Nurul Izzah terhadap pemimpin Perkasa.

Nyata sekali pandangan serta cabaran anggota Parlimen Lembah Pantai
itu menyengat dan mengena tepat pada sasaran.

Pendirian ketiga-tiga menteri itu membukti kan dengan jelas bahawa
pucuk pimpinan Umno hanya bercakap tentang satu Malaysia, akan tetapi pada
hakikatnya berkongsi pendapat dengan golongan perkauman sempit Melayu.

Sangat tepat pandangan Nurul Izzah bahawa frasa 'hak istimewa' Melayu
tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan; yang wujud hanya
'kedudukan istimewa'. Begitu jugalah tidak terdapat slogan 'ketuanan
Melayu' dalam Perlembagaan.

Mana-mana perlembagaan negara bukannya seperti al-Quran ciptaan Allah
yang tidak boleh diubah oleh manusia. Perlembagaan Persekutuan telah
dipinda lebih 40 kali.

Namun begitu Nurul Izzah, selari dengan pendirian yang diambil oleh
KEADILAN serta juga PAKATAN mendukung seluruh semangat Perlembagaan
Persekutuan seperti yang wujud kini, termasuk fasal-fasal yang
mengenai kedudukan Islam, Sultan serta Bahasa Melayu, dan juga
kedudukan istimewa Melayu asalkan ia tidak disalahguna untuk memuaskan
kerakusan golongan berkuasa yang memang sudah istimewa.

DR SYED HUSIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT

No comments

Powered by Blogger.