KBGM Jahil Perlembagaan Telah Dipinda 40 Kali Dalam 53 Tahun

SHAH ALAM 7 Sept - Badan Peguam menyifatkan laporan polis yang dibuat oleh Kelab Belia Graduan 1Malaysia (KBGM) terhadap Kempen Perlembagaanku adalah akibat kurangnya pemahaman dan maklumat berkenaan kempen tersebut lebih-lebih lagi mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan media semalam, PresidenBadan Peguam, Ragunath Kesavan berkata kebimbangan KBGM bahawa buku-buku panduan yang dikeluarkan oleh kempen itu (Buku Panduan Rakyat) yang bersifat menghasut adalah tidak benar sama sekali.

"Tujuan kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang Perlembagaan di kalangan rakyat Malaysia kerana ia memberi makna kepada negara kita. Ia langsung tidak menjadi matlamat Badan Peguam untuk cuba membuat pindaan terhadap Perlembagaan.

"Kempen ini tidak bersifat kepartian dan kami mengambil segala usaha untuk menjalinkan usahasama dengan semua pihak yang mahu bekerjasama dengan kami. Setakat ini, aktiviti-aktiviti kami telah dihadiri dan disokong oleh seorang Menteri dan seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, seorang Ketua Menteri, dua Menteri Besar, Ahli-ahli Parlimen termasuklah Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat dan pihak lain," jelas Ragunath.

Beliau menegaskan kerisauan utama KBGM adalah berhubung kandungan Buku Panduan Rakyat yang mengatakan Perlembagaan boleh dipinda oleh ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat Malaysia.

"Ini sememangnya ada dinyatakan di dalam Perlembagaan. Dalam pengetahuan kami, Parlimen telah meminda Perlembagaan lebih daripada 40 kali dalam masa 53 tahun yang lalu dengan lebih kurang 650 pindaan individu.

"Secara amnya, pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli-ahli Parlimen. Namun demikian, terdapat beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan seperti yang berkaitan dengan kedudukan istimewa orang Melayu, yang hanya dapat dipinda dengan kebenaran Majlis Raja-raja," kata beliau lagi.

Ragunath menolak dakwaan KBGM bahawa kempen tersebut dibiayai oleh NGO asing anti-kerajaan.

Beliau menjelaskan kempen PerlembagaanKu tidak mengaut sebarang keuntangan dan ia dibiayai sepenuhnya oleh Badan Peguam Malaysia disamping menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuklah Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, badan politik dan bukan politik dan juga rakyat Malaysia.

"Kempen PerlembagaanKu bertujuan untuk memaklumkan rakyat Malaysia tentang apa yang dinyatakan di dalam Perlembagaan. Ia mengalakkan orang ramai untuk membaca Perlembagaan dengan sendiri dan mempelajari tentang apa yang terkandung dan tidak terkandung di dalam Perlembagaan.

"Dalam hal ini, kami percaya kebimbangan KBGM dapat diatasi dengan ilmu pengetahuan berkenaan Perlembagaan. Kami menjemput KBGM untuk mengadakan perbincangan dan sedia bekerjasama dengannya untuk bersama-sama ‘Merakyatkan Perlembagaan’," ujar Ragunath.

No comments

Powered by Blogger.