Ahli Majlis MPK Buat Aduan Fitnah Terhadap Dua Blog Pro Umno

Oleh Faizal Ezzany

CYBERJAYA 6 Sept - Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Lee Kee Hiong hari ini membuat laporan terhadap dua laman sesawang selangordaily.com dan juga pembangkangselangor.com di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung dakwaan fitnah terhadap beliau yang disiarkan di dalam laman web terbabit.

Beliau yang hadir bersama peguamnya, Tiew Way Keng telah bertemu dengan seorang pegawai penyiasat SKMM di sini bagi mengadu terhadap fitnah tersebut dan menggesa SKMM dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab mengendalikan sesawang tersebut.

"Pada Jumaat yang lepas saya telah membuat satu laporan polis berhubung dakwaan fitnah yang telah disiarkan oleh dua laman sesawang selangordaily.com dan juga pembangkangselangor.com. Susulan daripada laporan polism itu, hari ini saya juga membuat aduan di SKMM atas alasan yang sama dan berharap SKMM akan membuat siasatan segera berhubung dakwaan fitnah itu.

"Selain itu juga saya berharap SKMM juga dapat mengambil tindakan undang-undang kepada pengendali laman web itu.

"Bagi saya apa yang diperkatakan oleh laman sesawang tersebut adalah fitnah dan bagi membantu siasatan tersebut saya tidak dapat memberi penjelasan sepenuhnya terhadap apa yang didakwa. Untuk pengetahuan pihak polis juga telah melakukan siasatan daripada laporan yang telah saya kemukakan itu.

"Sebenarnya mereka tidak mempunyai apa-apa tujuan melainkan ingin menjatuhkan serta memalukan saya, bagi saya apa yang mereka lakukan tidak akan kemana-mana jika budaya politik sedemikian digunakan oleh mereka," jelas Lee yang juga merupakan pengarah biro pendidikan DAP Selangor.

Dalam pada itu, Way Keng menjelaskan pihaknya sedang meneliti bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap fitnah itu dan beliau berharap kes ini dapat disegerakan.

"Kita akan merujuk kes tersebut di bawah peraturan Komunikasi dan Multimedia Akta 1998 (Akta 558) dan dalam masa yang sama pihak saya juga sedang mengkaji bentuk tindakan yang akan diambil," kata beliau.

Sebelum itu selangordaily.com mendakwa Kee Hiong terbabit dengan aktiviti mengumpul dana politik untuk DAP melalui penyelewengan invois dan menaikkan harga.

Selain itu juga laman sesawang pembangkangselangor.com menuduhnya terlibat dengan beberapa kegiatan rasuah.

Beliau menuntut polis supaya menyiasat penulis laman sesawang itu dan dakwaan yang dibuat terhadapnya bagi membersihkan nama baiknya.

No comments

Powered by Blogger.