Tuduhan terbit DVD ‘Sidang DUN Pokok’ ke atas Adun DAP ditangguh

Oleh Clara Chooi


IPOH, 7 Sept — Pasukan pendakwa raya menangguhkan pertuduhan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Perak Ong Boon Piow yang dikatakan menerbitkan DVD “haram” “Sidang DUN Pokok” 3 Mac lalu.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Mark Netto, pertuduhan ke atas Adun Tebing Tinggi itu ditangguhkan ekoran arahan daripada ketua pendakwa raya negeri.

Tiada alasan khusus diberikan berhubung perubahan keputusan di pihak pendakwa raya tetapi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa langkah itu berkaitan dengan usaha konspirasi pihak kerajaan.

ADUN Pantai Remis Nga Kor Ming memberitahu The Malaysian Insider bahawa tidak mungkin hanya Ong seorang sahaja yang menghasilkan DVD berhubung kejadian itu.

Ketika kemuncak krisis politik Perak, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional juga mengeluarkan terbitan itu dan mengedarkan 50,000 salinan menjelang sidang DUN 7 Mei 2009.

“Ini bermakna mereka juga perlu mengenakan tuduhan ke atas (Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr) Zambry (Abd Kadir) dan (Exco Kerajaan Negeri) dari MCA Datuk Dr Mah Hang Soon kerana mereka juga bertanggungjawab terhadap penerbitan bahan seumpama itu,” kata beliau.

Ong sepatutnya dikenakan tuduhan pagi ini di Ipoh di bawah Seksyen 6(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 kerana memiliki bahan-bahan terbitan yang tidak diluluskan.

No comments

Powered by Blogger.