Kes PKFZ: Liong Sik mahu kertas Kabinet diubah status

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


Dr Ling meminta agar kesnya dipindahkan dari Putrajaya ke Kuala Lumpur. — gambar fail
PUTRAJAYA, 3 Sept — Barisan peguam bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, yang berhadapan dengan tuduhan berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), hari ini memohon di Mahkamah Sesyen agar minit mesyuarat Kabinet yang berkaitan dengan projek itu diklasifikasikan semula.

Tuntutan itu dibuat pagi ini ketika mahkamah bersidang untuk mendengar sebutan semula tuduhan ke atas beliau.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 November ini untuk sebutan semula tuduhan Dr Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan itu.

Selain itu beliau juga meminta kesnya dipindahkan ke Kuala Lumpur.

Dr Ling merupakan individu kelima dan berkedudukan tinggi yang didakwa berhubung skandal PKFZ.

Akhir tahun lepas, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka OC Phang dan tiga lagi didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu.

Ketika dikenakan didakwa pada 29 Julai lalu, Dr Ling mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya jemaah menteri berhubung pembelian tanah untuk projek “Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.

Dr Ling, 67, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 418 dan Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ling didakwa telah menipu kerajaan Malaysia antara 25 September 2002 dan 6 November 2002 di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri di sini dengan memperdayakan Kabinet untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek mega “distribution hub” di Pelabuhan Klang mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang yang antara lainnya ialah:

a) luas tanah ialah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki persegi:

b) kadar pembelian tanah adalah sebanyak RM25 satu kaki persegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456.

c) tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah “bayaran tertangguh” selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (jumlah RM720,014,600), dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 10 tahun atau RM25.82 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kupon/ faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Dengan demikian telah dengan sengaja mendorong Jemaaah Menteri untuk memberikan persetujuan kepada pembelian tanah tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada Kabinet.

Penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa tertuduh boleh menyebabkan kehilangan salah kepada kerajaan Malaysia, yang kepentingannya dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu bahawa tertuduh terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi dan dengan demikian telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Projek PKFZ, yang dibina di kawasan seluas 405 hektar di Pulau Indah dekat Pelabuhan Barat sebagai hab penghantaran kargo bersepadu telah menimbulkan kontroversi apabila kosnya melambung daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion.

No comments

Powered by Blogger.