Masa Depan Kuala Lumpur

LAPORAN KHAS

Oleh Stephanie Sta Maria

Masuk dua bulan sebagai Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Dato’ Zaid Ibrahim kini bersedia mengadakan sesi dailog dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Setakat ini jemputan beliau untuk berdailog belum disambut oleh Raja Nong Chik. Sekiranya beliau bersetuju kata Zaid, banyak isu-isu di Kuala Lumpur yang ditimbulkan oleh ahli-ahli parlimen boleh mencapai resolusi dan penyelesaian.

"Keadaan di KL ialah walaupun pihak pembangkang memegang sembilan dari 11 kerusi parlimen, kuasa dan keputusan untuk menaiktaraf kemudahan dan penyelesaian masalah bukan di tangan kita," terang Zaid. "Jadi saya telah menulis surat-surat kepada menteri untuk mengadakan dialog bagi membincangkan isu-isu ini."

"Pihak pemerintah dan pembangkang tidak boleh bergaduh tentang isu-isu tetapi ada ketikanya kita perlu bersikap tegas dalam usaha untuk berkhidmat untuk rakyat. Pembangkang mempunyai kuasa yang terhad untuk mengetengahkan isu-isu dan mencari jalan penyelesaiannya. Laporan maklum balas adalah penting buat menteri maka saya harap terdapat perubahan sikap."

Namun begitu, Zaid menyatakan persetujuannya dengan cadangan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai supaya kementerian berkenaan dibubarkan sahaja bagi membebaskan dari cengkaman "tuan-tuan politik".

Datuk Bandar, DBKL tidak ada kuasa

Berhubung dengan perkara ini katanya, dari sudut struktur Datuk Bandar Ahmad Fuad Ismail dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kelihatan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tetapi pada hakikatnya, kuasa itu berada dalam genggaman Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Raja Nong Chik.

Dari satu sudut, Zaid nampaknya menyalahkan keputusan-keputusan yang bercanggah mengenai Kuala Lumpur hasil dari kurangnya penjelasan dari kalangan menteri, kabinet dan datuk bandar.

"Sesuatu resolusi tidak boleh dicapai semalaman……..perancangan yang teliti adalah perlu," beliau menerangkan. "Tetapi jika perincian tentang sesuatu rancangan itu selalu berubah dan dipinda atau jika seseorang itu menukar keputusan yang dibuat oleh orang lain, maka tidak perkara yang dapat dilaksanakan. Inilah apa yang sedang berlaku sekarang ini kerana parti yang berhak ke atas sesuatu tanggungjawab yang tertakluk di bawah bidang kuasanya dinafikan oleh kerajaan."

"Dalam situasi di Wilayah Persekutuan, perlantikan seorang menteri untuk menjaga hal ehwalnya adalah tidak perlu kerana kita sudah ada datuk bandar di KL dan kita juga boleh mempunyai datuk bandar di Langkawi dan Labuan.

Lebih baik jika kita mempunyai datuk bandar yang dilantik supaya beliau mempunyai perasaan tanggungjawab terhadap mereka yang melantik beliau. Ini merupakan sebahagian dari rancangan jangka panjang bagi menanggani isu-isu di KL."

Tumpu kawasan bermasalah

Zaid mempunyai rancangan baru bagi membawa perubahan ketara di peringkat parti. Beliau akan memberi tumpuan di kawasan-kawasan yang bermasalah dan melantik seorang petugas untuk menanggani setiap kawasan itu.

"Masalah tidak bermula dan berakhir dalam sesuatu kawasan," katanya. "Kesesakan lalu lintas di Segambut adalah sama seperti kesesakan di Lembah Pantai dan ditempat-tempat lain di KL.

Jadi saya mahu beberapa tenaga penting berupa pakar tentang isu-isu tertentu berbanding pakar-pakar dalam kawasan mereka sendiri. Hanya dengan itu kita mempunyai pandangan yang lebih baik dan lebih bermakna apabila kita berbincang."

Bagi Zaid, isu-isu fundamental yang menjadi tumpuan seperti keselamatan dan kemudahan asas atau dalam bahasanya sendiri, "perkara-perkara yang boleh dilakukan".

"Jika kita mahu menjadikan KL sebagai sebuah tempat bagi kehidupan yang lebih selesa, kita hendaklah bermula dari asas. Bandar-bandar yang mempunyai kehidupan yang selesa di dunia tidak boleh dipenuhi dengan setinggan dan flat yang usang.

Penyertaan lebih ramai warga kota

Zaid memuji warga kota yang menghidupkan bandaraya dengan penyertaan mereka dalam pelbagai aktiviti, namun beliau merasakan warga kota dapat memberi sumbangan yang lebih baik lagi. Zaid mahu melihat lebih banyak persatuan-persatuan penduduk ditubuhkan dan penyaluran maklumat mengenai aktiviti kemasyarakatan yang lebih intensif.

Dengan menggunakan aduan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mengenai tanah yang diperuntukan untuk membina balai polis ditukar menjadi pusat penjaja dan laman badminton, Zaid berkata hanya penduduk di kawasan itu yang tahu maklumat tentang hal itu.

"Radio komuniti, akhbar atau kumpulan diskusi boleh mengetengahkan isu-isu ini," katanya. "DBKL harus menggalak dan menjadi penyelaras aktiviti-aktiviti seperti ini. Hanya dengan cara ini, kita boleh mencipta kesedaran hingga membawa kepada penyertaan."

"Hidup di bandar memerlukan persekitaran yang berbeza berbanding dengan hidup di kampung. Orang bercakap tentang membentuk kehidupan yang berpadu di bandar adalah lebih sukar kerana perbezaan corak hidup. Tetapi DBKL harus menjalankan usaha ini kerana kumpulan-kumpulan seperti ini boleh menggerakkan urat nadi kota."

Menanggani kemiskinan bandar

1 breakdown of 2008 parliamentary elections Kemiskinan bandar merupakan isu penting untuk kawasan-kawasan seperti Batu, Lembah Pantai dan Kepong. Jalan penyelesaian Zaid adalah mudah – melaksanakan dasar gaji minima dan membuat pendirian tetap berhubung dasar pekerja asing.

"Saya yakin dengan analisa mengikut sektor dan menyediakan setiap sektor dengan memperkenalkan asas gaji minima yang bersesuaian," kata beliau.

"Pendapatan sebulan sebanyak beberapa ratus ringgit sahaja adalah mengecewakan. Gaji minima mesti menjadi dasar nasional jika kita serius hendak membasmi kemiskinan. Tidak ada jalan pintas untuk ini.

Zaid menekankan bahawa KL bukan lagi sebuah tempat yang murah untuk hidup dan imej sebagai kawasan berpendapatan sederhana hanyalah satu khayalan.

"Isu lain ialah mengenai kebanjiran pekerja asing yang mengakibatkan kurangnya peluang pekerjaan bagi orang tempatan dan tenaga kerja murah," katanya. "Pendapatan rendah dalam pasaran kerja inilah yang mencipta kemiskinan bandar. Adalah sukar untuk mengekalkan tahap pendapatan apabila ada orang yang sanggup bekerja dengan gaji yang lebih rendah.

"Dan lagi, dasar mengenai pekerja asing masih samar-samar. Satu hari kita dengar larangan terhadap kemasukan mereka dan pada hari lain, kita dengar bilangan kemasukan mereka semakin bertambah. Tidak ada langsung dasar yang konsisten dan tetap.

Fahaman politik mundur

Mengulangi kesediaan beliau untuk berdailog dengan Raja Nong Chik, Zaid berkata banyak isu yang menyelubungi KL memerlukan penyelesaian politik. Dan salah satu jalan penyelesaian ialah melibatkan kerjasama berbagai parti politik.

Ahli Parlimen pembangkang di mana-mana negeri yang dikuasai oleh kerajaan pusat tidak berpeluang untuk menyewa dewan atau melawat sekolah tanpa gangguan dari pihak sana," katanya. "Seperti dalam keadaan perang, satu situasi yang bodoh. Dengan mempunyai banyak bangunan pencakar langit dan aspirasi kita untuk menjadi sebuah negara maju, politik kita jauh ketinggalan di belakang.

"Ia memerlukan kedua-dua belah pihak untuk bekerjasama dan saya memulakan langkah pertama ini untuk menjelaskan pendirian saya bagaimana kita boleh memulakan proses perubahan.

"Saya berharap datuk bandar dan menteri boleh menterjemahkan hasrat saya untuk menyelesaikan isu-isu dan tidak mencari peluang politik murahan dari situasi ini," ujar beliau.

No comments

Powered by Blogger.