Khalid Diseru Henti Buat Ugutan Melalui Media

SHAH ALAM 24 Sept - Ketua Penerangan Wanita KEADILAN, Elizabeth Wong meminta pihak polis khususnya Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berhenti daripada membuat ugutan melalui media dan bersikap lebih profesional dalam usaha memanggil Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin memberi keterangan berhubung isu pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Elizabeth yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berharap Khalid bersikap tidak memihak dari segi politik agar kes-kes seperti itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

"Saya amat kecewa melihat Khalid yang membuat kenyataan bersifat ugutan melalui media terhadap Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar yang juga merupakan seorang peguam.

"Jika pihak polis percaya bahawa Shamsul mempunyai maklumat yang dapat membantu siasatan, beliau wajib dipanggil untuk memberi kenyataan," ujar beliau.

Katanya lagi, sememangnya diakui benar rakyat mengikuti dengan rapat perkembangan kes pembunuhan mendahsyatkan Sosilawati dan tiga rakan beliau tetapi jika terdapat usaha untuk membawa pesalah ke muka keadilan, ianya wajar disokong.

"Saya pasti Khalid yang berpengalaman lama dalam hal ini sedar akan tatacara asas yang mewajibkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah dikeluarkan untuk merakamkan kenyataan saksi di bawah Sekseyn 112 Kanun Acara Jenayah.

"Malangnya, aturan yang betul ini tidak diikuti dan Khalid didapati membuat kenyataan kepada pihak media dengan ugutan penangkapan Shamsul.

"Ini merupakan kelakuan yang tidak profesional oleh seorang yang berpangkat tinggi seperti Datuk Khalid," kata beliau.

No comments

Powered by Blogger.