MB sedia dedah laporan audit mengenai exco dan ahli majlis

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor sedia mendedahkan laporan audit mengenai isu yang membabitkan seorang exco kerajaan negeri dan dua ahli Majlis Perbandaran Kelang (MPK)kepada umum.

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, beliau boleh menggunakan budi bicara Seksyen 23 (C) Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang mengklasifikasikan semua laporan audit boleh diedarkan kepada orang ramai.

Laporan audit berkenaan ialah terhadap exco Ronnie Liu (foto), dua ahli majlis MPK iaitu Tee Boon Hock dan Hamidah Mat Som.

"Jabatan audit negeri mengesahkan berlaku pemalsuan tandatangan pada surat sokongan menggunakan kepala surat Ronnie, exco kerajaan Selangor.

"Terdapat penggunaan kepala surat yang ditandatangani orang lain bagi pihak Ronnie," katanya di sini hari ini.

Mengenai Tee, Khalid berkata, isu pokok bukan mengenai surat sokongan tetapi kegagalannya membuat deklarasi bahawa syarikat tersebut milik anaknya.

Beliau berkata, Tee mengeluarkan 10 surat sokongan dikeluarkan bagi mendapatkan sokongan terhadap 20 syarikat sepanjang 2008 sehingga tarikh semakan bagi mendapatkan kerja yang ditawarkan MPK.

Daripada 10 surat sokongan itu, 16 kontrak kerja bernilai lebih RM900,000 ditawarkan kepada syarikat yang disokong oleh Tee.

"Satu kontrak bernilai RM19,924.20 diberikan kepada syarikat perkhidmatan AA yang mana salah seorang pengarah syarikat adalah anak Tee.

"Kegagalan Tee membuat deklarasi bahawa syarikat itu milik anaknya menimbulkan konflik kepentingan.

"Beliau sepatutnya buat deklarasi untuk elak pelanggaran etika tatacara pemberian sokongan untuk mendapatkan kontrak," tambahnya.

Hamidah pula, kata menteri besar telah menyokong syarikat milik suaminya sebagai salah satu syarikat untuk mendapat 19 kontrak bernilai RM400,000," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, beliau akan menyemak semula untuk memastikan perkara berkenaan dan hasilnya akan diumum kan selepas raya.

Khalid juga menjelaskan tiada surat sokongan terhadap kerja menaik taraf longkang utama di Lebuh Setaka, Taman Chi Liung, Kelang bernilai RM800,000 yang dibuat laporan polis oleh Syarikat Paras Enterprise.

No comments

Powered by Blogger.