Parti Cinta: PKR kekal gantung tiga pemimpin, sembilan dimaaf

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengambil keputusan untuk memaafkan sembilan daripada 12 pemimpinnya dari Sabah yang dikaitkan dengan percubaan mahu menubuhkan Parti Cinta Sabah tahun lalu.

Bagaimanapun hukuman ke atas tiga pemimpin dikekalkan.

“Setelah dikaji semula hujah-hujah rayuaan yang diterima, kepimpinan parti mendapati setiap mereka mengakui terbabit dan dengan jelas melafazkan kekesalan atas kesilapan mereka dan memberi jaminan bersedia mendokong perjuangan parti seterusnya jika diberi pertimbangan oleh parti,” kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Pun begitu kata beliau, kepimpinan parti berpendapat mereka yang merupakan pemegang jawatan utama dalam pendaftaran Parti Cinta Sabah iaitu presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung tidak boleh dilepaskan tanggungjawab dalam kesalahan ini.

Oleh itu jelas beliau, Biro Politik dengan kuasa yang dimandat oleh Majlis Pimpinan Pusat berpendapat hukuman penggantungan keanggotaan ke atas tiga anggota tersebut dikekalkan.

Mereka ialah Daniel John Jambun, Awang Ahmad Shah dan Moses Iking.

“Untuk sembilan anggota yang lain iaitu Nicholas James Guntobon, Paul Kerangkas, Slyvester Mujim, Innocent Makajil, Nasir Sami, Harry Manisit, Rubbin Guribah, Gosibin Yosundang dan Guandee Kohoi dilepaskan daripada penggantungan setahun dengan amaran keras tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya lagi.

Saifuddin memberitahu Biro Politik dalam mesyuaratnya semalam telah meneliti setiap satu surat rayuan yang telah dihantar oleh 12 anggota yang terlibat dalam penubuhan Parti Cinta Sabah yang sebelumnya mereka telah disabitkan kesalahan oleh Jawatankuasa Disiplin dengan digantung keanggotaan parti selama setahun berakhir 3 Januari depan.

Mereka dikenakan hukuman itu dua minggu lalu.

Kata beliau, mereka juga diingatkan untuk menunjukkan kelakuan baik pada sepanjang menjadi anggota parti.

“Parti tidak akan ada sekelumit keraguan untuk memecat sebarang individu sekiranya perkara ini berulang,” katanya.

Setelah meneliti kesemua pemohonan rayuan, Biro Politik berpendapat bahawa keterlibatan 12 anggota tersebut sebagai ahli jawatankuasa penaja Parti Cinta Sabah adalah tindakan serius.

Serentak itu kata beliau PKR memandang berat perkara ini dan tidak akan bertoleransi dengan sesiapa yang didapati terlibat dalam aktiviti yang serupa.

No comments

Powered by Blogger.