Rakan, keluarga tak percaya Sosilawati diculik, tiada transaksi bank

GOMBAK, 7 Sept – Seorang kawan rapat kepada jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, yang hilang sejak 30 Ogos lalu, tidak percaya usahawan kosmetik itu telah diculik lebih-lebih disebabkan duit, kerana sehingga kini tiada tanda-tanda transaksi pengeluaran wang dibuat dari akuan miliknya.

Dia yang enggan namanya dikenali berkata selain itu pihak keluarga Sosilawati sehingga kini tidak menerima sebarang bentuk ugutan sekiranya beliau telah diculik.

“Kalau beliau (Sosilawati) diculik mesti keluarganya akana menerima surat ugutan minta wang tebusan tapi sehingga hari ini masih tiada apa-apa.

“Selain itu, semenjak beliau hilang saya diberitahu oleh anaknya bahawa tiada transaksi pengeluaran wang dibuat dari akuan beliau,” katanya ketika ditemui sebaik sahaja keluar dari rumah Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak di sini.

Tambah beliau, anak-anak Sosilawati masih lagi trauma kerana ibu mereka hilang sejak akhir bulan lalu.

Ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya Sosilawati membawa wang RM4 juta, dia berkata perkara itu agak mustahil.

“Mustahil Sosilawati akan keluarkan wang sebanyak itu kerana beliau boleh mengeluarkan cek.

“Anak-anak beliau juga melenting apabila ada laporan akhbar kata ibu mereka membawa wang sebanyak itu,” katanya.

Sementara itu, adik lelaki Sosilawati, Masturi, 42, berkata dia sudah berada di rumah kakaknya itu sejak seminggu lalu untuk menjaga anak-anak Sosilawati.

“Saya sudah seminggu berada di sini untuk jaga anak-anak kakak saya.

“Sehingga kini kami tidak terima sebarang surat ugutan dan kami masih menanti perkembangan terbaru,” katanya.

Usaha The Malaysian Insider untuk menemui anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, tidak berhasil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata sehingga kini masih tidak perkembangan terbaru tentang kehilangan Sosilawati.

“Setakat ini masih tiada perkembangan terbaru, jika ada saya akan maklumkan kemudian,” katanya.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya setelah dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak, sejak 30 Ogos lalu.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun gagal berbuat demikian sehingga kini.

Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lepas dan difahamkan Sosilawati membawa wang jutaan ringgit.

Polis kini menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes kehilangan jutawan itu.

Sosilawati merupakan bekas isteri kumpulan Lefthanded, Jamaludin Elias atau lebih dikenali Nash.

Sosilawati dan Nash, 50, telah berkahwin pada 16 November 2006 sebelum bercerai secara sah dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada 26 Mei 2009.

Laporan media semalam menyebut sebelum dilaporkan hilang, Sosilawati yang berasal dari Batu Pahat, Johor dipercayai telah mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta kononnya bagi membeli sebidang tanah di Banting.

Malam tadi polis telah menemui dua kereta mewah dipercayai millik Sosilawati dan seorang peguamnya ia ditemui di dua lokasi berbeza di Subang Jaya dekat sini malam tadi.

The Malaysian Insider difahamkan kereta BMW M5 dengan nombor pendaftaran WTL 11, dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir kenderaan di Pangsapuri Angsana di Persiaran Subang Mewah manakala BMW 5series, bernombor pendaftaran AAJ 5, dipercayai milik peguamnya ditemui berhadapan dengan sebuah rumah teres berdekatan Pusat Perubatan Subang dan hotel berhampiran.

Kedua-dua kenderaan itu ditemui sekitar 10 malam tadi.

Bernama melaporkan sehingga berita ini ditulis, tengah malam tadi, terdapat dua pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman sedang mengambil bukti dan maklumat lanjut dari dua kawasan penemuan kereta berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.