PKR Kedah batal usul cadang Anwar jadi Presiden

Oleh Fazy Sahir

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat Negeri Kedah membatalkan usul mencadangkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden parti bagi mengambil alih tempat isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ini berikutan kenyataan Anwar 14 September lalu yang berpendirian untuk tidak mahu bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti akhir tahun ini.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Ahmad Kassim, Anwar menghubunginya semalam berhubung pandangannya untuk tidak bertanding sebarang jawatan.

Kata Ahmad Kassim, Anwar memaklumkan bahawa beliau ingin memberi tumpuan sepenuhnya dalam Pakatan Rakyat.

"Anwar yang menghubungi saya semalam memperkemaskan pandangan agar PKR Kedah tidak meneruskan usul cadangkan beliau sebagai presiden.

"Ini bagi memberi tumpuan kepada perkara lebih besar dalam Pakatan, tentang gabungan dan hubungan PR. Soal parti beri pada Azizah. Saya menerima pandangan Anwar itu," katanya yang dihubungi FMT semalam.

Baru-baru ini Ahmad Kasim turut meminta semua cabang mencalonkan Anwar untuk menduduki kerusi Presiden parti, selepas mesyuarat biro politik negeri 5 September lalu.

Usul tersebut mendapat reaksi positif daripada beberapa cabang lain seperti Langkawi, Sik, Baling dan lain-lain.

Menurut Ahmad Kassim,pihaknya sudah memaklumkan kepada cabang-cabang di peringkat negeri mengenai hasrat Anwar itu.

"Saya dah memaklumkan kepada ketua-ketua cabang negeri melalui sms semalam hasrat Anwar itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Pada 17 September ini bakal bermulanya proses pencalonan di peringkat cabang.

Seramai 25 ribu ahli PKR Kedah yang mendaftar akan menjalankan tugas bagi proses tersebut.

Kedah kini secara rasmi mempunyai 12 cabang yang berdaftar.

No comments

Powered by Blogger.