Soi Lek tidak kecewa laporan polis terhadapnya oleh Perkasa

KUALA LUMPUR 15 Sept — Presiden MCA Datuk Seri, Dr. Chua Soi Lek berkata beliau tidak merasa kecewa dengan laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) walaupun sehingga dipanggil untuk memberi kenyataan di balai polis.

"Saya tidak fikir saya kecewa dengannya. Saya fikir polis berhak untuk menyiasat. Kita mahu polis menyiasat secara profesional. Mereka mempunyai hak untuk memanggil sesiapa saja sekiranya mereka rasa mereka perlu menyiasat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog parti MCA dengan pemilik dan pengendali restoran di sini hari ini.

Dr. Soi Lek ditanya sama ada beliau merasa kecewa atau merasakan wujud bias apabila polis memintanya untuk memberi keterangan setelah Perkasa membuat laporan terhadapnya.

Pada 9 September lalu, beliau memberi kenyataan kepada polis berhubung satu laporan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Perkasa, Amir Hassan yang mendakwanya telah membuat satu kenyataan berbau perkauman pada Kongres Ekonomi Cina bulan lalu.

Dr. Soi Lek dikatakan telah meminta pengurangan secara beransur-ansur syarat pemilikan 30 peratus saham bumiputera dalam sektor ekonomi.

Beliau hari ini berkata beliau merasa sangat selesa kerana beliau tahu bahawa apa yang beliau katakan itu adalah demi kebaikan negara.

"Saya tidak pernah menyentuh hak keistimewaan sesiapa. Saya tidak menyentuh mengenai bangsa dan agama. Saya menyentuh tentang bagaimana untuk memastikan ekonomi Malaysia berdaya saing dalam abad ke-21,” jelasnya. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.