Staf BernamaTV nafi anak sulung Sosilawati kekasihnya

Oleh Syed Mu’az Syed Putra dan Melissa Chi

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/trivia/2010/09/20/sosilawati-bernama.jpg


Zulkifli (tengah) memerhatikan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berbual dengan bekas suami pertama Sosilawati, Buhari Mohamad (kiri) di Gombak hari ini.


GOMBAK, 20 Sept — Penyampai berita BernamaTV Zulkifli Bujang hari ini menafikan mempunyai hubungan “istimewa” dengan anak sulung jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang dilaporkan dibunuh dengan kejam baru-baru ini.

Zulkifli yang mesra dengan panggilan “Zul” menolak dakwaan bahawa dia dan Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, menjalin hubungan cinta.

“Itu tidak benar sama sekali. Saya dan Rita (Erni Dekritawati Yuliana) hanya kawan sahaja, lagipun saya memang sudah lama mengenali dengan keluarga Datuk (Sosilawati).

“Saya terkejut apabila ada laporan katakan saya mempunyai hubungan dengan Rita.

“Apa-apa pun saya cuma berkawan sahaja dengan Rita, anda boleh bertanyakan hal ini kepada Rita jika tidak percaya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di rumah Sosilawati di Taman Harmonis di sini.

Sementara itu, menurut sumber terdekat keluarga Sosilawati, Zulkifli merupakan kenalan rapat dengan usahawan kosmetik itu dan agak mustahil jika dia menjalinkan hubungan cinta dengan Rita.

“Tidak mungkin, apa yang saya tahu Zul sudah lama mengenali keluarga Datuk dan dia juga rapat dengan anak-anak Datuk.

“Lagipun mereka memang mesra sejak kecil lagi dan banyak memberikan sokongan kepada anak-anak Datuk sejak dari hari pertama lagi,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan Zulkifli sering dilihat berada di rumah agam milik Sosilawati.

Selain itu, Zulkifli turut menemani Rita ke pejabat syarikat jutawan kosmetik itu di Jalan Raja Bot di ibu negara.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang ketika urus niaga tanah di Banting pada 30 Ogos lalu selepas kali terakhir dilihat pada majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dua hari sebelum itu.

Turut hilang bersama beliau ialah peguam dari Tetuan Kamaruddin & Partners dari Putrajaya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan pemandu peribadi Sosilawati Kamaruddin Shansuddin, 44.

Kehilangan mereka hampir terungkai apabila polis menahan lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar “Datuk” baru-baru ini.

Empat daripada mereka mengaku telah membunuh kesemua mangsa, sebelum membakar mangsa dan abu mereka dibuang dalam Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Kuala Langat.

No comments

Powered by Blogger.