Kemusykilan Berkenaan Dengan Akaun 1MDB

Seperti yang diumumkan, 1Malaysia Development Fund Bhd (1MDB) diperuntukkan RM5 bilion pada tahun 2009 melalui penerbitan bon jaminan kerajaan. Baru-baru ini, 1MDB juga bercadang mendapatkan pinjaman tambahan sebanyak RM5 bilion. Pinjaman RM5 bilion baru ini tidak akan dijamin oleh kerajaan Malaysia secara langsung, malah akan diselesaikan melalui penerbitan beberapa bon sejumlah RM10 bilion yang disokong oleh kerajaan (state-backed bonds). Ini bermaksud 1MDB akan menanggung liabiliti jangka panjang sebanyak RM15 bilion menjelang tahun 2013. Jumlah itu 4 kali ganda besar jumlahnya berbanding dengan nilai bon yang dikeluarkan untuk projek Port Klang Free Zone (PKFZ), iaitu bernilai sekitar RM3.685 bilion.

Kini bertiup kencang berita bahawa audit akaun untuk tahun fiskal yang sepatutnya berakhir pada Mac 2010 belum dapat dimuktamadkan. Terdapat spekulasi bahawa juruaudit enggan menandatangani akaun tersebut kerana terdapat banyak percanggahan. Lazimnya, juruaudit enggan menandatangani akaun yang diauditnya apabila wujud masalah serius dalam akaun tersebut. Oleh kerana jumlah yang membabitkan dana awam sebegitu besar, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjelaskan kepada khalayak samada berita mempunyai kebenaran atau tidak.

Difahamkan berdasarkan kunci kira-kira (balance sheet), kenapakah 1Malaysia Development Fund Bhd (1MDB) boleh mengaut keuntungan yang tidak diasingkan (unappropriated profit) sebanyak RM121.79 juta. Ianya menjadi satu tanda tanya apabila liabiliti bukan semasa (non-current liability) adalah sebanyak RM4.39 bilion sahaja dan bukan RM5 bilion seperti yang diumumkan oleh 1MDB. Ke mana hilangnya sejumlah RM610 juta? Kita difahamkan juga berdasarkan kunci kira-kira tersebut, pinjaman sejumlah RM37 juta diperlukan sedangkan deposit kategori aset semasa (Deposits with licensed financial institutions) adalah sebanyak RM782.12 juta. Lazminya, kategori aset semasa (current assets) merujuk kepada kategori di mana transaksi dapat dilakukan bila-bila masa dalam tempoh waktu kurang daripada 12 bulan. Sebaliknya, jika deposit kategori aset semasa tidak dapat digunakan untuk membuat pembayaran, bagaimana Other payables sebanyak RM99.43 juta dapat dibayar dengan Other receivables yang hanya berjumlah RM16.15 juta?

Manakala itu kita difahamkan menurut penyata pendapatan pula, dana tersebut mendapat keuntungan sebanyak RM439.83 juta tetapi tidak pasti bagaimana sesebuah dana sebegitu boleh mendapat keuntungan tersebut. Biasanya ‘keuntungan’ diperoleh melalui pelaburan. Butiran hasil (Other income) diperlukan bagi menjawab persoalan-persoalan lain yang berkaitan. Di samping itu, apakah status pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan kepada 1MDB? Apakah kerajaan memberikan pengecualian sepenuh kepada 1MDB dan apakah rasional kerajaan dalam hal ini? Adakah item ini merujuk kepada status kewangan Terengganu Investment Authority Berhad sebelum bertukar nama kepada 1MDB? Pada 11 Jan 2010, kerajaan mengumumkan bahawa Yayasan 1MDB telah ditubuhkan bagi mengendalikan satu dana tanggungjawab sosial (CSR) yang bernilai RM100 juta. Adalah difahamkan juga, jumlah RM100 juta tersebut tidak muncul sama ada dalam penyata pendapatan atau kunci kira-kira.

Semenjak 1MDB yang sebelum ini bergelar Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) diperkenalkan oleh pentadbiran Najib, pelbagai pertanyaan wujud berhubung peranan 1MDB, pelaburan 1MDB dan perkembangan-perkembangan berkaitan khususnya dalam peranan PetroSaudi dan jutawan bernama Jho Low. Apakah peranan Jho Low dalam 1MDB khususnya dalam projek pembangunan semula pangkalan Sungai Besi? PetroSaudi hanya dikenali ramai selepas penubuhan sebuah syarikat usaha sama bersama 1MDB dengan modal berjumlah AS$2.5 bilion (RM8.5 bilion).

Akibat dari pengurusan yang tidak telus, makanya begitu banyak persoalan yang muncul. Ini mengingatkan kita kepada dengan penubuhan ValueCap yang bernilai RM10 bilion pada 2002. ValueCap tidak membawa sebarang makna selain memangkin segelintir syarikat sahaja dalam pasaran saham, mengulangi bentuk salah guna kuasa dan salah agih dana awam yang berlaku pada tahun 1997. Operasi ValueCap penuh dengan misteri (rahsia) sehingga orang ramai tidak mengetahui transaksi apakah yang telah dilakukan. Lebih-lebih lagi, ValueCap mendapatkan pinjaman daripada KWSP dengan kadar faedah rendah. Ini menimbulkan kebimbangan dana tersebut digunakan untuk menyelamatkan kroni besar dalam Bursa Malaysia. Kini kita khuatir dana awam yang disalurkan kepada 1MDB juga akan mengalami nasib yang sama sepertimana dengan beberapa usaha kononnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara. Berselindung di sebalik hasrat yang dipamerkan sebagai satu langkah yang bermakna, akhirnya hanya menguntungkan segelintir sahaja dari kalangan mereka yang rapat dengan pemerintah.

ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG DEWAN RAKYAT MALAYSIA

No comments

Powered by Blogger.