Terima kasih Musa dan Ismail selamat meneruskan kecemerlangan PDRM — Utusan Malaysia

2 SEPT — Cadangan Kementerian Dalam Negeri melantik Tan Sri Ismail Omar sebagai Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa 13 September depan menamatkan spekulasi serta khabar angin siapa bakal dipilih memegang jawatan nombor satu tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ismail, bukanlah nama asing kerana beliau sebelum ini merupakan timbalan kepada Tan Sri Musa Hassan. Beliau yang berusia 57 tahun dikenali di kalangan rakan media sebagai pegawai polis yang mudah didekati.

PDRM adalah sebuah agensi penguat kuasa keselamatan kerajaan yang paling utama, terkenal dan sering menjadi tajuk perbualan masyarakat dalam banyak isu.

Dengan memiliki anggota dan pegawai yang paling ramai, PDRM adalah sebuah pasukan yang sering menjadi perhatian sama ada setiap kali mereka mengecap kejayaan ataupun ketika ditohmah dengan cercaan oleh segelintir pihak yang tidak pernah senang dengan pasukan ini.

Sejak November 2006, Malaysia mempunyai seorang Ketua Polis Negara iaitu Musa yang amat berketerampilan. Beliau bukan sahaja arif dalam bidang agama, malah dihormati kerana keperibadiannya.

Meskipun pernah dikaitkan dengan kontroversi, anak sulung kepada Tan Sri Hassan Azhari ini mampu memegang jawatan terpenting dalam PDRM dan mengembalikan keyakinan rakyat untuk meletakkan sepenuh kepercayaan kepada polis.

Ketika era pentadbiran beliau, PDRM melalui beberapa siri kemajuan dan pembangunan. Antaranya, Musa memperkenalkan saranan untuk menambah bilangan anggota dan pegawai polis dalam Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM.

Musa juga memperkenalkan cadangan supaya anggota polis menjauhi amalan rasuah menerusi moto “Saya Anti Rasuah”, “Rakan Cop” dan program Komuniti Kepolisan untuk mendekatkan polis dengan masyarakat.

Pendekatan yang diambil oleh Musa sedikit sebanyak meningkatkan imej PDRM di mata masyarakat. Rakyat semakin berani untuk bergaul dan berhubung terus dengan polis, sekali gus mampu mengurangkan kadar jenayah di seluruh negara.

Ketika semua pembaharuan dalam PDRM ini berjalan, Ismail selaku timbalan kepada Musa turut memainkan peranannya membantu merealisasikan hasrat itu.

Ismail dilihat mempunyai perwatakan yang seakan-akan sama seperti Musa. Ismail mudah didekati, tegas bertempat dan tidak melatah dengan setiap isu yang ditanya berhubung PDRM.

Kepada Musa, terima kasih di atas segala pengorbanan dan khidmat bakti yang ditaburkan oleh beliau sepanjang memegang jawatan utama dalam pasukan ini. Semoga beliau maju jaya dalam bidang yang diceburi selepas ini.

Kepada Ismail pula, beliau kini berada di landasan terbaik untuk meneruskan usaha Musa meningkatkan imej PDRM sebagai pasukan yang dihormati.

Patah tumbuh hilang berganti, jawatan Ketua Polis Negara bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah. Beban yang ditanggung oleh seorang ketua polis negara itu tidak mudah untuk digambarkan, kecuali jika mereka yang pernah memegang jawatan itu sendiri yang tahu jerih perih berada di kerusi nombor satu itu.

Musa sudah menyempurnakan tugasnya selaku Ketua Polis Negara yang ketujuh dengan berjaya, dan rakyat kini menunggu untuk melihat karisma yang ada pada Ismail untuk mengepalai sebuah pasukan yang dihormati supaya ia terus disanjungi. — Utusan Malaysia

No comments

Powered by Blogger.