Alasan Tian Chua, Gobalakrishnan Antara 17 Orang Dilepas DaripadaTuduhan Sertai Perhimpunan Haram

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang dan Anggota Parlimen Padang Serai N.Gobalakrishnan adalah antara 17 yang lain yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), tiga tahun lepas.

Turut terlepas daripada pertuduhan itu, Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu bersama Mohd Zad Abdullah, Mohd Salim Yeslam, Abdul Razali Abdul Rahman, Razali Abdul, Mohd Asri Ahmad, Mohd Harith Fathillah, Saleh Mohd Tahir, Azahar Yusop, Sulaiman Ahmad, Taib Abdullah, Mohd Shafie Ismail, Mohd Nazreen Mohd Nasir, Mohd Abi Salam Ariffin dan Ishak Othman.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh yang berumur antara 19 hingga 60 tahun.

Jagjit, dalam penghakimannya berkata, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tertuduh ke-16 iaitu Mohamad Sabu dan tertuduh ke-17 iaitu Chua Tian Chang yang dikenali sebagai Tian Chua mendapati, pihak pendakwaan hanya bergantung kepada pita rakaman semata-mata dan tiada keterangan saksi menunjukkan kedua-dua tertuduh berhimpun di Istana Negara yang boleh memudaratkan kepentingan awam.

"Kedua-dua tertuduh berada di situ (Istana Negara) untuk menyerahkan memorandum kepada pihak istana dan mereka telah diberikan masa yang secukupnya oleh pihak polis untuk menyerahkan memorandum itu dan selepas menyerahkannya mereka beredar. Maka tidak timbul isu enggan bersurai dan wujudnya perhimpunan haram di tempat itu," katanya.

Selain itu, penangkapan kedua-kedua tertuduh turut dipersoalkan kerana tangkapan dibuat jauh dari Istana Negara. Mohamad Sabu ditangkap di Tol Juru, Pulau Pinang manakala Tian Chua ditangkap di Johor Bahru.

Bagi tertuduh ke-10 iaitu Gobalakrishnan, Jagjit berkata tiada keterangan oleh mana-mana saksi yang menunjukkan tertuduh terlibat dalam perhimpunan di Jalan Tun Perak di sini kerana pihak pendakwaan hanya bergantung kepada video rakaman semata-mata.

"Di dalam video rakaman menunjukkan kehadiran tertuduh, namun tiada keterangan saksi pendakwaan yang mengatakan bahawa tertuduh terlibat dalam perhimpunan itu. Di dalam video itu juga menunjukkan tertuduh tidak berpakaian berwarna kuning ataupun merah yang tertera perkataan "Bersih" ataupun "Unit Amal". Persoalannya, bagaimana nak mengaitkan tertuduh terlibat dalam perhimpunan tersebut," katanya.

Bagi 14 tertuduh yang lain yang ditangkap di beberapa lokasi seperti Masjid Negara dan Jalan Raja Laut di sini telah menunjukkan kehadiran mereka di situ, bagaimanapun pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kehadiran mereka mengganggu ketenteraman awam.

"Saya berpendapat orang awam berhak berada di dalam masjid kerana ia merupakan tempat beribadat dan tiada sesiapapun yang berhak menyuruh mereka keluar daripada masjid dan apa jua halangan daripada berada dalam masjid adalah satu perbuatan yang melanggar Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu melanggar kebebasan beragama," katanya.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menyertai perhimpunan itu dan mengingkari arahan polis untuk bersurai di beberapa tempat di sekitar ibu negara seperti Jalan Raja Laut, Jalan Istana Baru dan Jalan Tun Perak antara pukul 1 petang hingga 4 petang, 10 November 2007.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan mengikut Seksyen 27 (4) Akta Polis 1967.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff yang mengemukakan seramai 36 saksi manakala barisan pembelaan diketuai oleh Hanifa Maidin.

No comments

Powered by Blogger.