Anwar: Pilihan raya serentak boleh manfaatkan Pakatan

Oleh Melissa Chi


KUALA LUMPUR, 23 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik idea mengadakan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum ke-13 secara serentak sebagaimana disyorkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud baru-baru ini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, langkah memanggil kedua-dua pilihan raya pada masa yang sama akan memanfaatkan perikatan tiga parti komponen itu.

Mandat kerajaan negeri Sarawak akan berakhir Julai ini manakala Parlimen pula April 2013.

Spekulasi menyebut pilihan raya umum tergempar akan diadakan tahun ini.

“Kami lemah dalam pilihan raya-pilihan raya kecil sebab keseluruhan jentera (Umno-BN) bertumpu pada satu kawasan tetapi ketika pilihan raya umum, mereka perlu mengambil berat setiap kawasan dan itu masanya kami menyerang (memberi fokus seimbang ke atas) kesemua bahagian,” kata Anwar ketika berucap melancarkan rangkain media online “Keadilan Network” di Kelab Darul Ehsan dekat sini hari ini.

Negara sedang menyaksikan pilihan raya kecil ke-14 iaitu di Tenang dan satu lagi menyusul di Merlimau, Melaka.

Terdapat 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri buat masa sekarang.

Pada masa yang sama, ketua pembangkang itu juga mengakui pemimpin-pemimpin DAP Sarawak mengambil berat soal kemungkinan pilihan raya serentak memandangkan mereka memerlukan sumber tenaga dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin di Semenanjung.

Sehubungan itu kata beliau, Pakatan Rakyat berhadapan dengan sumber yang terhad berbanding dengan Barisan Nasional (BN).

“Dana dan jentera Pakatan Rakyat tidak boleh hanya memfokus pada satu bahagian pilihan raya,” kata beliau.

“Kami ada kekuatan di pangkalan masing-masing untuk mempertahankan bahagian-bahagian kami,” kata beliau.

Semalam, Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng berkata, pilihan raya Parlimen dan DUN yang diadakan serentak akan memberi kelebihan kepada BN Sarawak daripada segi berkempen.

Katanya, pilihan raya serentak akan memberi kesan tidak baik kepada parti pembangkang di negeri ini kerana ia akan mengehadkan penggunaan sumber yang mereka miliki.

“Ini adalah suatu helah untuk memastikan sumber pakatan pembangkang dari Semenanjung Malaysia tidak sampai ke Sarawak,” katanya.

Taib dipetik sebagai berkata beliau akan berbincang dengan Datuk Ser Najib Razak tentang kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri dan Parlimen secara serentak.

Dalam reaksi segera beliau kelmarin, Najib yang juga Pengerusi BN berkata kemungkinan pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan serentak tidak boleh diketepikan.

Kali terakhir pilihan raya Parlimen dan negeri diadakan secara serentak di Sarawak ialah pada 1974.

No comments

Powered by Blogger.