PAS tidak bimbang jika BN guna isu negara Islam

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

LABIS, 23 Jan — PAS tidak bimbang sekiranya Barisan Nasional (BN) terus menggunakan isu negara Islam untuk meraih sokongan pengundi-pengundi di Tenang, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub hari ini.

Salahuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Tenang berkata, parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan membantu menjelaskan perkara tersebut kepada pengundi bukan Melayu di kawasan itu.

“Kita tidak bimbang tentang itu (negara Islam) kerana kita dah ada satu pendekatan bahawa majoriti pendekatan dan kempen akan dihasilkan oleh PKR dan DAP.

“Jadi kita tak perlu risau... kita tidak bimbang, PKR dan DAP akan bantu jelaskan,” kata beliau dalam temu bual dengan The Malaysian Insider hari ini.

Ini bukan kali pertama BN menggunakan isu negara Islam ketika berhadapan dengan saingan pilihan raya kecil.

BN melalui parti komponennya, MCA berkata akan membawa isu-isu seperti negara Islam dan janji-janji yang tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang PKR-DAP-PAS sejak pilihan raya umum lalu.

Ini sedikit sebanyak menyebabkan Pakatan Rakyat berada dalam kedudukan defensif.

Malah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut menimbulkan isu tidak bersalam terhadap calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman sebelum ini.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi “mengingatkan” masyarakat Cina di DUN Tenang.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Normala, seorang bekas guru juga merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Menurut Salahuddin, Pakatan Rakyat akan memberi tumpuan terhadap isu-isu rakyat terutamanya dari aspek permasalahan rakyat di kawasan Tenang.

Selain itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, Pakatan Rakyat juga akan menjelaskan matlamat dan fokus sekiranya gabungan tiga parti itu memerintah negara.

“Isu yang melibatkan masyarakat Melayu adalah isu-isu nasional tapi kerana kita ada tiga tanah rancangan (Felda) besar di sini, isu yang difokuskan adalah isu peneroka dan soal tanah mereka.

“Seterusnya kita juga fokus kepada teras orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, ia harus dijelaskan kepada orang Melayu bahawa Pakatan Rakyat bukannya mahu mengurangkan teras orang Melayu.

“Ia harus dijelaskan... ini merupakan komitmen Pakatan Rakyat dalam konvensyen yang pertama. Itu adalah perkara-perkara yang melibatkan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan Raja-raja Melayu tidak akan terusik, malah akan dijamin oleh Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau juga menegaskan, undi penentu kemenangan bagi pilihan raya kecil itu bukan undi daripada warga Felda, tetapi adalah undi orang bukan Melayu.

“Medan sebenar bukan di Felda, medan sebenar adalah 39 peratus pengundi Cina dan India.

“Bagi saya Umno-BN dah terlalu selamat di Felda dan fokus ialah kepada pengundi orang bukan Melayu.

“Bagi PAS, kita harus kekalkan komitmen dan janji kita, kita harapkan anjakan yang mungkin 10 peratus lagi untuk kita capai satu kemenangan,” katanya.

Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).

Dalam temu bual hari ini, Salahuddin turut mendakwa Mohd Azahar agak “keberatan” untuk bertanding bagi mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu.

“Menurut maklumat yang saya terima, beliau (Mohd Azahar) meletakkan jawatan sebagai ADO (Penolong Pentadbir Tanah) pada Jumaat lalu.

“Parti politik seharusnya memilih dari kedudukan ini (pimpinan bahagian) dan dia (Mohd Azahar) sebagai ADO bukan orang yang begitu berkehendakkan untuk bertanding.

“Tapi bila dalam pimpinan bahagian tiada berkelayakan, jadi dia diminta untuk bertanding. Sebenarnya dia keberatan (mahu bertanding),” kata beliau sambil menyifatkan pemilihan Normala sebagai calon PAS-Pakatan Rakyat sebagai satu keputusan bijak.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

No comments

Powered by Blogger.