Beg udara : Beri Insentif kepada pengguna

SHAH ALAM, 23 Jan – Kerajaan sebagai penggubal polisi perlu memperkenalkan mekanisme insentif atau bantuan bagi membantu pemilik kenderaan lama yang mungkin tidak mampu memasang atau membeli kereta yang mempunyai beg udara.

Bercakap kepada Selangor Kini, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mahu cadangan mewajibkan pemasangan beg udara atau ‘airbag’ mulai 2012 tidak membebankan pengguna jalan raya dan pemilik kenderaan.

Beliau juga mempersoalkan betapa pengimport dan pengeluar kereta tempatan perlulah terlebih dahulu menawarkan beg udara sebagai aksesori standard bagi mengelak bebanan kos kepada pengguna.

“Pengeluar dan pengimport mesti memastikan semua kereta yang masuk ke dalam negara ini sepatutnya disiapkan dengan kemudahan beg udara bukan bila selepas kerajaan wajibkan baru nak pasang, ini semua sudah tentu kos lebih tinggi dari kereta yang memang dah ada beg udara.

Kerajaan harus sediakan insentif supaya kos pemasangan airbag itu lebih rendah sebab bagi kereta yang tak ada airbag, kos dia lebih,” katanya.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha telah mengumumkan awal minggu ini semua kenderaan kecuali kenderaan pacuan empat roda diwajibkan memasang beg udara bagi mengelak risiko lebih tinggi termasuk kematian terhadap pemandu atau penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun menurut Mahfuz, beg udara bukanlah jawapan kepada masalah sebenar iaitu punca kemalangan jalan raya yang tinggi di negara ini.

Malah pemasangan beg udara tetap perlu diselia bagi memastikan menepati spesifikasi keselamatan dan pemasangan oleh satu badan khas bagi memastikan ianya
efektif.

“Airbag hanya berfungsi apabila berlaku kemalangan sebagai penampan untuk selamat pemandu tapi bukan untuk kemalangan. Yang lebih penting kempen kesedaran untuk elak kemalangan itu perlu dilakukan.

Pastikan barang-barang ini diperakui oleh satu badan seperti ABS oleh badan seperti sirim bukan hanya letak memenuhi syarat. Itu takkan dapat atasi masalah yang kita harapkan,” ujar Mahfuz lagi.

Mahfuz turut menyarankan agar cukai dan duti import kereta dimansuhkan bagi membolehkan pengguna membeli kereta luar negara yang rata-rata mempunyai ciri keselamatan yang tinggi sebagai standard bagi mengurangkan lagi masalah kemalangan jalan raya.

“Kerajaan harus melihat kepada harga kereta. Orang boleh beli kereta baru yang ada airbag ini, kerajaan mesti ikut langkah yang dibuat di negara lain,cukai import dan eksais mesti tiada. Sebab kalau tanpa cukai kereta memang ianya murah.Kalau kereta itu dibeli dengan harga yang murah, maka orang bolehlah beli kereta yang baru yang memang sudah ada airbag ini,” ulas Mahfuz.

No comments

Powered by Blogger.