Apabila SPR Berada Di Celah Kangkang Umno

Terserah kepada Badrul - SPR

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Terserah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah sama ada mahu hadir atau tidak ke persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor esok.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ia kerana, perkara itu adalah melibatkan antara Badrul Hisham dan Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim.

Beliau bagaimanapun berkata, SPR hanya akan membuat keputusan berhubung kerusi DUN Pelabuhan Klang dalam satu mesyuarat khas yang akan diadakan selepas urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Merlimau, Melaka selesai.

"SPR telah menerima notis rasmi daripada Chang Khim berhubung kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang. Kita belum sempat menelitinya kerana sibuk dengan urusan di PRK DUN Tenang.

"Kita akan mengadakan mesyuarat khas untuk melihat perkembangan kes ini kerana wakil rakyat berkenaan (Badrul Hisham) menafikan (dakwaan Chang Khim) dan menegaskan ada menghantar surat sakit berhubung ketidakhadiran beliau pada sidang Dewan.

"Setakat ini ia masih lagi isu peribadi antara Speaker (Chang Khim) dan Badrul Hisham. SPR juga tiada hak menentukan Badrul Hisham boleh hadir atau tidak ke sidang DUN esok, ia terpulang kepadanya dan Chang Khim," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rabu lalu, Chang Khim mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham kosong kerana kegagalannya menghadiri persidangan Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.

Badrul Hisham bagaimanapun, menolak alasan yang dinyatakan Chang Khim bahawa beliau gagal menghadiri sidang DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah sehingga menyebabkan kerusinya itu diisytiharkan kosong.

Sidang tergempar DUN tersebut dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membolehkan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Kuliah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Shamrahayu A. Aziz pula berkata, keputusan sama ada kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong atau tidak, terletak pada Speaker sekiranya bukti mengenai ketidakhadiran Badrul Hisham lengkap.

Beliau bagaimanapun berkata, Badrul Hisham mempunyai hak untuk mencabar keputusan menggugurkannya sebagai wakil rakyat di mahkamah.

"Sekiranya ikut perundangan, kuasa memutuskan sesuatu kerusi DUN itu kosong atau tidak adalah terletak pada Speaker. Tetapi, wakil rakyat boleh mencabar keputusan itu di mahkamah sekiranya mendapati alasan kekosongan yang diumumkan Speaker tidak benar," katanya.

No comments

Powered by Blogger.