SM Faisal penerima termuda darjah Datuk Wira

MELAKA 23 Jan. – Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin hari ini menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira daripada Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Penganugerahan darjah kebesaran itu adalah sempena sambutan hari jadi ke-72 Mohd. Khalil yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

SM Faisal yang berusia 31 tahun merupakan penerima termuda bagi darjah kebesaran DCSM.

Hadir sama, isteri Yang Dipertua negeri, Toh Puan Zurina Kassim; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad.

Turut menerima darjah kebesaran hari ini ialah Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Akmar Hisham Mohd. Yusof @ Mokhles pula menerima anugerah baru yang diperkenalkan tahun ini iaitu Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

SM Faisal ketika ditemui selepas majlis itu mengucapkan syukur di atas pengurniaan darjah kebesaran itu.

“Alhamdulillah, saya rasa terharu dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua negeri dan Ketua Menteri serta kerajaan negeri kerana menganugerahkan saya DCSM.

“Saya agak terperanjat mendapat anugerah ini dan lebih mengejutkan apabila saya dimaklumkan sebagai penerima termuda,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, Kumpulan Naza merancang terlibat dalam banyak bidang perniagaan terutama automotif dan hartanah di negeri ini.

“Kita sudah menjalin hubungan kerjasama yang agak lama dengan kerajaan negeri khususnya dalam bidang perhotelan. Kumpulan Naza kini turut merancang menempatkan kilang pemasangan kereta di negeri ini. Perkara ini masih dalam perbincangan.

“Bukan sahaja Melaka tetapi banyak negeri lain turut menawarkan tempat untuk Kumpulan Naza beroperasi,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, pihaknya sedang mempertimbangkan kesemua tawaran itu dalam usaha mengembangkan perniagaan.

Beliau melihat Melaka adalah lokasi terbaik kerana kestabilan politik dan kemajuan yang dicapai dan ia cukup sempurna untuk Kumpulan Naza mengembangkan sayap di negeri ini.

No comments

Powered by Blogger.