Chong Wei: Saya tetap mahukan khidmat Misbun

SEPANG, 10 Jan – Walaupun berjaya merangkul gelaran hatrik Super Siri Masters Final 2010, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei tetap berharap jurulatihnya Datuk Misbun Sidek kembali membimbingnya sebelum Kejohanan Terbuka Super Siri Proton Malaysia bermula pada 18 hingga 23 Januari ini.

“Saya tidak boleh buat apa-apa kerana Misbun letak jawatan pada saat-saat akhir sebelum saya bersiap sedia pergi ke Taiwan.

“Saya memang perlukan khidmat dia (Misbun) dan jelas mengganggu konsentrasi dan fokus saya semasa di Taiwan,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Taiwan hari ini.

Lee berkata ketika pertandingan itu berlangsung, beliau hanya menumpukan perhatian untuk mencapai kejayaan sambil berharap isu Misbun dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat diselesaikan secepat mungkin.

Katanya walaupun Misbun telah meletak jawatan jurulatih perseorangan badminton negara berkuatkuasa 31 Disember lepas, ‘sifunya’ tetap mengikuti perkembangan beliau semasa kejohanan di Taiwan itu.

“Misbun ada menelefon saya di sana dengan membuat analisis perlawanan saya.

“Meskipun jauh, saya tetap gembira kerana dia tetap mengikuti perkembangan saya ketika itu,” katanya.

Ditanya mengenai hasratnya untuk keluar daripada naungan BAM, Lee berkata beliau menunggu perkembangan terakhir isu peletakan jawatan Misbun sebelum membuat keputusan.

“Saya mahu mengetahui keputusan penuh sebelum saya betul-betul membuat keputusan sama ada menarik diri atau terus di bawah persatuan itu,” katanya.

Semalam, Lee membuka tirai kejayaannya tahun ini dengan mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Super Siri Masters Final selepas menundukkan jaguh Denmark, Peter Gade dalam masa 40 minit.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, keputusan Misbun meletak jawatan sebagai jurulatih pemain perseorangan badminton negara adalah bersifat teknikal mengenai aspek kejurulatihan dan bukannya bersifat peribadi.

“Berdasarkan luahan hati Misbun, keputusannya meletak jawatan daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia), sehari sebelum tahun baru ialah berdasarkan perdekatan berbeza dalam aspek kejurulatihan,” katanya kepada pemberita selepas

mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Sukan Malaysia, di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata rumusan tersebut berdasarkan pertemuannya dengan Misbun, presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh dan ketua pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Zolkples Embong, malam tadi.

Beliau berkata pada pertemuan antara mereka berempat, “Datuk Nadzmi memberi pandangannya mengenai isu yang sama dan (beliau juga) akan membawa luahan hati Misbun kepada mesyuarat Exco BAM pada Rabu ini.”

“Terpulang kepada exco badan induk badminton negara untuk memutuskannya,” dan mahukan mesyuarat Exco BAM untuk membuat keputusan menang-menang agar tidak memberi kesan kepada sukan tersebut memandangkan jasa Misbuk kepada kejayaan pemain badminton negara tidak boleh dinafikan, katanya.

Ahmad Shabery berkata pada pertemuan tersebut Misbun turut menafikan khabar angin bahawa dirinya dan anak didiknya Lee.

“Ada khabar angin mengatakan kedua-dua mereka mahu menubuhkan sebuah badan atau kem profesional selepas keluar dari BAM. Misbun menafikan wujudnya perancangan tersebut,” katanya.

Lee sebelum ini menyatakan hasratnya untuk keluar dari BAM dan menyertai `sifunya’ selepas Misbun, yang melatihnya selama enam tahun, meletak jawatan.

Ahmad Shabery berkata jasa Misbun kepada kejayaan pemain badminton negara tidak boleh dinafikan. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.