Kontraktor Melayu minta maaf ada rakaman video

Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 10 Jan: Kerajaan negeri ada rakaman video menunjukkan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang, Datuk Mohamed Fadzil Hasan memohon maaf dan menarik balik semua kenyataan akhbarnya memburukkan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam sidang media di pejabatnya tengah hari tadi tidak menyangka Fadzil bercakap 'tidak serupa bikin' apabila bertindak menafikan kenyataannya berbuat demikian dalam akhbar arus perdana semalam.

“Kenapa beliau sanggup memutar belitkan kenyataan walhal beliau sendiri mengungkapkannya di hadapan media serta salah seorang Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malek Abul Kassim.

"Kenapa beliau putar belitkan kenyataan yang dibuatnya sendiri. Tak apa kita ada bukti rakaman sidang media itu. Dan, ia boleh memalukanya dirinya sendiri," jelasnya.

Lim tidak faham kenapa tiba-tiba Mohamed Fadzil bertindak seumpama itu dengan menggunakan media pro Barisan Nasional (BN) bagi memperbetulkan dirinya semula dengan membelakangkan fakta sebenar.

Pada 7 Januari lalu, Fadzil dengan rombongan telah berbincang dengan Ketua Menteri sendiri sebelum bertindak memohon maaf secara terbuka kepada Lim dan Kerajaan Negeri kerana sering melemparkan kenyataan yang kadang-kadang tidak munasabah.

Selepas Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan, Kontraktor Melayu Pulau Pinang acapkali mengeluarkan kenyataan pedas kononnya kerajaan pimpinan Lim menafikan projek untuk orang Melayu sedangkan pada tahun 2008 hingga 2010 sebanyak 18 projek melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran diperolehi oleh Melayu melibatkan peruntukan RM40 juta.

Manakala tender Jabatan Kerja Raya pula menyaksikan 17 projek bernilai RM20 juta yang diluluskan antara Januari hingga 30 November 2010 di mana 16 diberikan kepada kontraktor Melayu dan hanya satu bukan Melayu.

No comments

Powered by Blogger.