Kontroversi Interlok ujian PAS tangani isu Melayu

Walaupun Umno dan Barisan Nasional sebagai kerajaan ialah pihak yang perlu bertanggungjawab dalam kontroversi yang dicetuskan novel Interlok, PAS bakal menjadi pihak yang berjaya mendapat manfaat atau kerugian, bergantung kepada tindakan parti itu dalam menangani isu ini.

Setakat ini, PAS berdepan kritikan banyak pihak terdiri daripada komuniti seni dan pemerhati, ekoran tindakan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Mariah Mahmud menyertai demonstrasi anti-Interlok, walaupun menafikan terlibat dalam pembakaran novel itu atau menunjukkan sokongan.

Mariah dalam satu kenyataannya yang bernada defensif mengalihkan tumpuan kepada Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya mempersoalkan motif Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan novel tersebut ke sekolah. Saya yakin beliau tahu sangat isi novel dan potensi konflik yang akan timbul. Saya percaya dan yakin bahawa ada motif politik yang tersirat. Mesej yang hendak dihantar kepada murid-murid India ialah 'ketahui lah asal usul anda' apabila membaca buku itu," tulis Mariah.

“Interlok telah berjaya dijadikan 'wedge' di antara pejuang sastera dan pejuang rakyat marhaen dengan rakyat yang cuba mereka bela. Hebat Muhyiddin Yassin! Fikir-fikirkan lah. Tidak salah jika saya katakan sesuatu yang berlaku di negara ini yang didalangi oleh pemimpin BN/Umno ada motif tersirat. Ianya tidak berlaku secara kebetulan," tegas Mariah lagi.

Tindakan PAS selepas ini, sekiranya dilihat sebagai menyebelahi kumpulan menolak Interlok mampu mendedahkannya kepada kritikan masyarakat Melayu sebagai lebih mengutamakan undi bukan Melayu dan mengabaikan sifat novel itu sebagai satu karya seni.

Perbincangan ramai, termasuk di laman sosial Facebook telah memperlihatkan kemarahan kepada PAS - ekoran laporan penyertaan Mariah dalam demonstrasi anti-Interlok - yang dilihat memberikan sokongan kepada kumpulan menolak Interlok yang dinilai berasas sentimen dan permainan politik perkauman.

Parlimen Kota Raja diwakili Mariah mempunyai hampir 30 peratus pengundi India, memberi satu gambaran pertimbangan beliau dalam menangani isu ini.

http://siasahdaily.blogspot.com/2011/01/kontroversi-interlok-ujian-pas-tangani.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FIqBc+(SIASAH)

No comments

Powered by Blogger.