Debat kalimah ‘Allah’ tenggelam pertemuan 24 Dis Umno, PAS

KUALA LUMPUR, 5 Jan — Pemimpin-pemimpin Umno dan PAS terpaksa mengakhiri perundingan ‘perpaduan Melayu’ di Istana Terengganu di sini pada 24 Disember lalu selepas pertemuan mereka mula menyentuh isu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam.

Kes pertikaian mengenai penggunaan kalimah “Allah” kini berada di peringkat rayuan selepas keputusan Mahkamah Tinggi akhir Disember 2009.

The Malaysian Insider difahamkan seorang pemimpin Umno pada pertemuan itu bercakap mengenai keperluan perpaduan orang Melayu memandangkan bukan Melayu mengambil kesempatan dengan perpecahan di kalangan orang Melayu dengan membuat pelbagai permintaan termasuk menuntut penggunaan kalimah “Allah” — merujuk kepada langkah Gereja Katolik yang mahu menggunakan perkataan itu dalam akhbar versi Bahasa Malaysia mereka.

Bagaimanapun difahamkan bahawa pada peringkat itu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membantah dengan menyebut bahawa ayahanda Nabi Muhammad s.a.w., Abdullah juga pernah menggunakan kalimah “Allah” walaupun dia merupakan bukan Islam.

“Kemudian perbincangan mereka berakhir apabila Agong meminta diri dan Nik Aziz juga meminta diri (keluar daripada perbincangan), dengan mengatakan sakit belakang,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider semalam.

Nik Aziz ketika itu baru keluar daripada hospital selepas menerima rawatan.

Semalam Nik Aziz enggan mengumumkan butiran perkara yang disentuh dalam pertemuan tersebut dengan berkata, beliau menghadiri pertemuan di Istana Terengganu di sini atas undangan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiada kaitan dengan isu politik.

Kata beliau, pemergiannya itu adalah bagi menjunjung perintah Seri Paduka Baginda yang menyampaikan titahnya melalui Abdullah ketika bekas Perdana Menteri itu melawatnya ketika beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini bulan lepas.

“Saya menghadap baginda bersama beberapa pemimpin termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur atas dasar menghormati dan menjunjung titah perintah Tuanku,” katanya.

Nik Aziz membuat penjelasan itu pada sidang akhbar yang turut dihadiri Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Hadi pula berkata walaupun majlis itu turut dihadiri pemimpin lain termasuk Najib tetapi mereka tidak membincangkan langsung soal-soal politik.

“Tidak ada perjumpaan lain, selain majlis santapan malam itu,” katanya.

Pada Isnin lalu, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Nik Aziz menghadiri majlis santapan yang diadakan oleh Yang di-Pertuan Agong bersama Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis itu dilihat satu lagi usaha untuk menghidupkan semula perundingan kerjasama politik antara Umno atas nama perpaduan orang Melayu-Islam yang banyak dibangkitkan oleh sejak dua tahun lalu kebelakangan ini.

Ia meningkat tahun lalu.

Malah, pertemuan itu diadakan seminggu selepas konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember.

The Malaysian Insider difahamkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz di Kota Baru pagi ini untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai ‘perundingan perpaduan’ itu, yang pertama kali diadakan sejurus selepas tsunami politik Mac 2008 ketika kepimpinan kerajaan pusat berada di bawah Abdullah.

Ketika itu Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima negeri kepada pembangkang - DAP, PAS dan PKR yang akhirnya membentukan perikatan Pakatan Rakyat.

BN mengambil balik Perak dua tahun lalu.

“Abdullah cuba untuk memulihkan kedudukannya selepas kekalahan besar dalam pilihan raya umum 2008 dengan membawa parti-parti ini bersama demi perpaduan Melayu,” kata satu sumber BN kepada The Malaysian Insider.

“Beliau menggerakkan peluang, tetapi ia bukan lagi kerja beliau,” kata sumber itu lagi.

Sumber-sumber yang rapat dengan pertemuan terbaru bulan lalu yang mahu membawa PAS ke dalam kerajaan BN mendedahkan kedua-dua Hadi dan Nasharudin dipercayai akan diberikan jawatan peringkat pusat jika parti mereka memutuskan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat.

Tetapi Nik Aziz menegaskan PAS tidak akan dan tidak wajar berbuat demikian berdasarkan pengalaman lama.

“Nik Aziz berdiri antara kami dan kemungkinan keruntuhan Pakatan,” kata seorang pemimpin DAP kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Nik Aziz juga meminta orang ramai menghentikan spekulasi mengenai pertemuan terbaru ini.

No comments

Powered by Blogger.