Tidak dihormati, eloklah Khairy berundur

Muhayat Jasmin

JERAI, 5 Jan: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar menyokong cadangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berundur dari persada politik negara seperti yang dinyatakan baru-baru ini.

Menurut Firdaus lagi, kepimpinan Khairy sememangnya tidak dihormati dan direstui oleh Umno pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti.

"Dalam Umno, jelas terbukti siapa yang tidak sehaluan dengan kepimpinan mereka akan dicantas lebih awal lagi. Mereka juga tidak mengamalkan prinsip demokrasi secara total. Suara ahli tidak dihormati.

"Dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) juga suara anak muda tidak dihormati. Prinsip keadilan tidak menjadi teras kepada pegangan dan perjuangan yang diamalkan oleh kepimpinan parti tersebut," ujarnya lagi ketika menghubungi Harakahdaily pagi tadi.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat turut menyatakan pelantikan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri dan Timbalan Pengerusi Umno Kedah adalah satu contoh yang sebenar.

Katanya lagi, sememangnya Khairy sudah tidak diperlukan lagi dalam Umno apabila Najib menerajui kepimpinan parti dan negara.

"Oleh kerana itu sekiranya Khairy berhasrat untuk bersara selepas pilihan raya umum yang akan datang, adalah lebih baik bagi beliau daripada terus diperalatkan oleh kepimpinan Umno.

"Cantas, diskriminasi dan kronisme sudah sebati dalam sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Umno dan BN. Ia juga sudah parah dan sukar untuk dihapuskan kerana telah menjadi darah daging sejak kepimpinan terdahulu lagi," tegasnya lagi.

No comments

Powered by Blogger.