Harga minyak naik, kelemahan kerajaan jadi beban kepada rakyat!

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Cukup mudah mulut pemimpin kerajaan menyatakan, kenaikan harga minyak tidak dapat dielakkan kerana harga minyak di pasaran dunia meningkat, dan kerajaan tidak mampu lagi menanggung subsidi bagi mengurangkan harga minyak.

Cukup mudah bagi kerajaan yang pemimpinnya kaya raya, menerima elaun perjalanan, mendapat kemudahan pelbagai dari hasil wang rakyat dan mendapat laba dari titik peluh rakyat untuk menyatakan, rakyat perlu berjimat cermat.


Berdasarkan kepada rekod, bermula dari 1 Oktober 2004, kerajaan telah menaikan harga minyak Ron 97 kepada RM1.42, kemudiannya pada Feb 2006 kepada RM1.92.

Pada Jun 2008, harga minyak dinaikkan oleh kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu pada kadar paling tinggi iaitu RM2.70.Namun akibat bantahan rakyat, harga minyak dikurangkan sedikit pada harga RM2.55 seliter pada 23 Ogos 2008.

Pada 16 Disember 2008, harga minyak sekali lagi turun iaitu pada kadar RM1.80, namun naik mendadak pada harga RM2.05 seliter pada September 2009.

Selepas September 2009, kenaikan berlaku secara bertersuan iaitu pada Julai 2010 dengan harga RM2.10, November 2010 pada harga RM2.15, I Disember 2010 pada harga RM2.30 dan terkini 4 Januari 2011, rakyat dihidangkan dengan kenaikan pada harga RM2.40.

Namun pada rakyat, setiap kali kenaikan harga minyak berlaku, ianya bermakna rakyat semakin terpaksa mengikat perut.Ada juga kalangan pemimpin membandingkan kononnya rakyat Malaysia ramai yang sakit akibat terlebih makan.

Namun pada rakyat yang duduk dirumah tidak beratap, yang duduk di bangsal buruk, yang duduk di pangsapuri kos rendah dan rumah kos rendah, periuk nasi mereka semakin terancam dengan kenaikan harga minyak yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan harian.

Ada mulut-mulut pemimpin Umno/BN yang rakus, yang menyatakan kenaikan langsung tidak membebankan rakyat kerana kerajaan membantu rakyat dengan menyediakan pengangkutan awam yang efisyen.

Namun, kerajaan seringkali terlupa, rakyat di pedalaman, di luar bandar, di Sabah, Sarawak, Galas, Tenang, Batu Sapi dan sebagainya di kawasan hulu semuanya tidak merasai kemudahan dan kecanggihan pengangkutan awam.

Namun, mereka ini juga terpaksa membeli ikan, ayam, daging, beras, gula, minyak masak, tepung dan pelbagai barangan harian pada harga yang dibeli oleh penduduk di bandar, malah ada yang terpaksa membayar lebih kerana kos pengangkutan sangat tinggi.

Lebih mengecewakan lagi, ada pemimpin kerajaan yang isterinya 'joli' ke luar negara, menggunakan wang yang entah datang darimana agaknya untuk berhibur, menganjurkan festival fesyen dan mengadakan lawatan ke atas rakan-rakan isteri pemimpin dunia.

Untuk apa kenaikan harga minyak dibuat sedangkan Malaysia memiliki telaga minyak sendiri?Jawapannya mudah, kerajaan terpaksa mengisi kantung dan poket-poket pemimpinnya untuk terus bermewah berbelanja keluar negara, menanggung bail-out syarikat kroni, menanggung projek mega kroni, dan paling parah menanggung kos untuk 'membeli' (merasuah) rakyat ketika pilihan raya kecil dan pilihan raya umum.

Rakyat kebanyakan terpaksa 'menjadi pelawat sahaja' untuk melihat bangunan pencakar langit seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kompleks Kerajaan Putrajaya, dan suatu hari nanti hanya menjadi pelawat kepada Menara Warisan 100 tingkat, meskipun ianya dibuat dari hasil titik peluh wang rakyat.

Lebih parah lagi, rakyat yang terpaksa membayar harga minyak, dan harga barang yang naik kerana kenaikan harga minyak, suatu hari nanti juga akan terus terpaksa menanggung beban hutang kerajaan kerana keborosan kerajaan Umno/BN!.

No comments

Powered by Blogger.