Novel Interlok: kenapa takut pada realiti?

Oleh Dinsman

Apa pun, kita ucapkan terima kasih dulu kepada seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana menimbulkan isu berkaitan novel Interlok karya sasterawan Negara Abdullah Hussein. Terima kasih, kerana beliau telah melakukan sesuatu yang positif dan provokatif kepada sastera Melayu, mengakibatkan orang ramai di Malaysia memberi perhatian luar biasa kepada sebuah karya sastera.

Bukan senang orang di Malaysia nak berikan perhatian sedemikian besar kepada sebuah novel. Dan bukan senang media di Malaysia nak siarkan berita mengenai peristiwa sastera, hingga saya pun tiba-tiba dihubungi wartawan bertanyakan hal novel tersebut, dan akhirnya Paksi (Seniman Paksi Rakyat) pun perlu mengadakan diskusi khas membincangkan isu berkenaan.

Apabila ditanya wartawan, saya pun tidak ingat lagi apakah saya pernah membaca novel tersebut ataupun tidak. Ia memang tidak ada dalam simpanan. Maka terpaksalah bertanya kawan-kawan di mana boleh didapatkan novel itu. Akhirnya Hasni berjaya mendapat beberapa naskah, lalu diberikan kepada kawan-kawan. Saya pun terpaksa membacanya dengan penuh tumpuan supaya sempat menghabiskan bacaan sebelum sesi diskusi khas yang diadakan Paksi malam tadi.

Diskusi Paksi mengenai novel itu memang panas. Itulah sebabnya awal-awal lagi saya sebut di atas tadi, kita mesti ucap terima kasih kepada Timbalan Menteri Datuk T Murugiah, samada kita bersetuju atau tidak dengan cadangannya supaya novel itu ditarik balik daripada menjadi buku teks sekolah untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kita bersetuju atau tidak pun, sudah ada pihak yang telahpun buat kenyataan untuk letak calon bebas dalam PRK Tenang, sekiranya kerajaan enggan menarik balik novel itu daripada menjadi teks sekolah. Ini satu hal yang sangat baik untuk dunia sastera. (Untuk dunia politik – itu cerita lain. Di sini kita tidak bercakap soal politik.)

Baiknya, dari segi ia telah berjaya menarik perhatian orang ramai. Tetapi itulah juga yang memanaskan diskusi Paksi malam itu. Persoalannya, orang memberi perhatian kepada novel itu, kenapa? Kerana ia dikatakan mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang menghina kaum India dan juga orang Melayu.

Apa yang menghinanya? Bahagian mana yang dikatakan menghina orang India dan juga orang Melayu itu? Kerana ada menyebut ‘kasta paria’? Kerana ada menyebut orang Melayu bodoh dan malas?

Novel Interlok adalah satu daripada karya yang mendapat hadiah saguhati dalam peraduan menulis novel sempena 10 tahun merdeka (1967), anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. (Sandera mendapat hadiah ketiga. Tidak ada hadiah pertama dan kedua). Dan sejak itu tidak pernah ada pembaca yang merasa terganggu atau tersinggung dengan adanya bahagian yang dikatakan menghina itu. Kenapa tiba-tiba sekarang, setelah kira-kira 40 tahun, timbul perasaan dan fikiran sedemikian?

“Kerana kita melihatnya dari sudut kepentingan politik perkauman. Hari ini semua benda hendak dipolitikkan, dan masing-masing berfikir untuk kepentingan politik masing-masing, bukan untuk kepentingan nasional.” kata seorang cerpenis dan wartawan veteran dalam diskusi Paksi itu.

“Novel ini satu rakaman realiti semasa yang cukup baik, mengenai masyarakat Malaysia waktu itu, zaman pra-Merdeka. Sangat sesuai dijadikan teks sekolah. Pelajar-pelajar boleh mempelajari dan memahami asal-usul terbentuknya masyarakat Malaysia seperti komposisinya hari ini. Ia satu rakaman sejarah dalam bentuk fiksyen.” Itu pandangan seorang jurutera yang menulis cerpen dan puisi, dan sekarang menjadi blogger yang prolifik.

“Kita masih tebal dengan pemikiran perkauman. Segala benda hendak dilihat dan dibaca dari sudut kepentingan itu,” tegas wartawan veteran itu lagi, sambil menambah: “Di sinilah sepatutnya penulis memainkan peranan, memberi penjelasan kepada masyarakat, supaya tidak berfikiran secara perkauman.”

Dan di sini saya mencelah dengan berkata, “Berbanding dengan dulu, pemikiran perkauman kita sekarang lebih teruk. Novel ini sendiri menjadi bukti. Dulu tak apa-apa. Tak ada pembaca yang tersinggung, baik India, Melayu mahupun Cina; sedangkan kalau nak fikir secara perklauman, dulu lagi isu ini boleh ditimbulkan.”

Akhirnya menjelang 12 malam, beberapa rumusan penting pun dibuat. Antaranya yang paling penting ialah supaya novel hendaklah dilihat sebagai sebuah karya seni, bukan dilihat sebagai bahan atau alat politik. Masyarakat kita hari ini terlalu sangat berpolitik.

“Segalanya hendak ditelan oleh politik,” tegas wartawan veteran itu lagi, yang dia sendiri pun sebenarnya aktif juga berpolitik, dan pernah memegang jawatan ketua bahagian dalam sebuah parti; tetapi dia dapat membataskan pemikiran politiknya supaya tidak ‘menelan’ semua hal ke dalam politik.

Paksi tidak bersetuju dengan Murugiah supaya novel Interlok ditarik balik daripada menjadi teks SPM. Tidak ada sebab untuk berbuat demikian. Paksi berpendapat cadangan supaya ia ditarik balik itu timbul disebabkan pemikiran perkauman yang semakin dipupuk di negara ini. Oleh itu Paksi berharap supaya pelbagai pihak di negara ini dapat berusaha secara betul bagi mengurangkan pemikiran perkauman di kalangan masyarakat.

Lihat saja pada novel Interlok ini. Di kulit belakangnya tertera kenyataan bahawa “novel ini berkemampuan untuk mengajar murid tentang erti penyatuan dan perpaduan…” Tentulah kenyataan itu dibuat setelah pihak pegawai dan pakar pendidikan kita mengkaji isi kandungan novel itu dan mendapati ia baik dan sesuai untuk memupuk penyatuan dan perpaduan.

Alih-alih ada pula pemikiran lain yang melihatnya sebaliknya. Maka kata seorang teman dalam diskusi itu, “masyarakat Malaysia dalam keliru”. Saya kata kekeliruan ada dalam semua masyarakat. Ia bukan sesuatu yang tetap dan menjadi sifat sesuatu masyarakat. Ia wujud untuk tempoh tertentu, atas faktor tertentu, dan boleh berubah atau berakhir.

Memang pun banyak kekeliruan dalam masyarakat kita hari ini. Sampai ke peringkat kehakiman dan pengadilan yang sepatutnya berfungsi untuk menghapuskan kekeliruan itupun banyak berlaku kekeliruan. Begitulah parahnya masyarakat kita sekarang.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 013-6362408)

No comments

Powered by Blogger.