Inkues: Pengawal Istana Kelantan mati terkena empat das

TUMPAT, 10 Jan – Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu hasil bedah siasat mendapati kematian pengawal Istana Kelantan Ramli Mohd yang ditembak ketika menunggang motosikal ke rumahnya pada Mei tahun lalu, disebabkan kegagalan organ dan jangkitan kuman dalam darah akibat tembakan itu.

Ketua Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor memberitahu Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat, satu das tembakan dari arah depan pada jarak kira-kira satu meter telah mengenai dada kanan dan seterusnya paru-paru Ramli.

“Kematian Ramli adalah disebabkan kegagalan organ dan jangkitan kuman dalam darah berikutan tembakan senjata api berkenaan,” katanya pada prosiding hari pertama inkues bagi menentukan punca sebenar kematian pengawal itu.

Dr Zahari menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Ramli bersama-sama pakar forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Wan Mohd Zamri.

“Beliau (Ramli) ditembak di depan... satu das tembakan mengenai kanan dada, pada jarak kira-kira satu meter (antara jarak muncung senjata api dengan mangsa)... bukan tembakan dekat (dan) bersesuaian dengan maklumat, mangsa masih menunggang motosikal dan mungkin pembunuh pada aras atas sedikit (daripada kedudukan mangsa),” katanya.

Ramli telah ditembak oleh individu yang tidak dikenali ketika menunggang motosikal pulang ke rumahnya di Palekbang di sini secara bersendirian dari bertugas di Istana Negeri Kubang Kerian, Kota Baharu pada 1 Mei tahun lalu dan meninggal dunia selepas 19 hari dalam rawatan di HRPZ II.

Isteri allahyarham, Maznah Mustafa, 50, pula memberitahu bahawa suaminya pernah memaklumkan mengenai perselisihan faham dihadapinya ketika bertugas sewaktu Sultan Kelantan sebelum ini Tuanku Ismail Petra menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

“(Suami) ada beritahu bahawa dia ada berselisih faham dengan pengawal istana swasta di Hospital Mount Elizabeth, Singapura,” katanya.

Anak Ramli, Nurhidayah, 28, pula memberitahu beliau mendengar percakapan antara bapanya dan rakan setugasnya ketika menerima rawatan di HRPZ II bahawa dirinya ditembak empat das dan peluru masih berada dalam badannya.

Bagaimanapun, katanya bapanya tidak dapat mengenal pasti individu yang mengekorinya kerana keadaan gelap. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.