Muhyiddin arah kaji semula penggunaan novel Interlok

RAUB, 6 Jan – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran bagi mengkaji semula penggunaan novel bertajuk “Interlok” sebagai buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima sekolah menengah mulai tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi, kajian itu perlu dilakukan secara serius supaya penggunaan novel itu tidak mendatangkan pelbagai masalah terutamanya membabitkan keharmonian kaum di negara ini.

“Tan Sri Muhyiddin (Menteri Pelajaran) (gambar) berharap kajian itu akan merumuskan satu keputusan yang baik bagi memuaskan semua pihak,” kata Puad kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gali, Raub di sini, hari ini.

Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah mengemukakan bantahan kepada kerajaan kerana muka surat 211 dan 220 novel itu didakwa mengandungi unsur sensitif yang boleh menyentuh perasaan sesetengah kaum.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mendakwa, buku teks sastera tingkatan lima itu telah ditarik balik kerana dikatakan mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India.

Puad berharap agar semua tidak mempolitikkan isu novel itu kerana niat kerajaan adalah untuk menambahkan pengetahuan di kalangan pelajar dan rakyat negara ini.

“Sepatutnya tidak timbul masalah itu kerana novel yang tulis Abdullah Hussain itu adalah berdasar kepada apa yang berlaku pada masa lampau.

“Sebarang keputusan untuk menentukan sama ada novel komponen sastera itu akan digunakan atau tidak akan diketahui dalam masa terdekat nanti,” katanya. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.