Interlok: Dewan Pemuda atur pertemuan muhibah NGO, budayawan esok

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 12 Jan — Dewan Pemuda PAS pusat mengaturkan satu “pertemuan muhibah” antara Kumpulan Budayawan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat India esok untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu novel Interlok.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat berkata, pertemuan tertutup yang akan diadakan untuk memberi ruang kepada kedua-kedua pihak bersemuka dan bertukar-tukar pandangan demi mencari jalan penyelesaian berhubung novel Interlok yang menjadi polemik sekarang.

“Dewan Pemuda PAS pusat percaya melalui pertemuan dan dialog ini boleh membantu merungkai masalah yang sedang berlaku,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pertemuan itu berkonsepkan muhibah iaitu menghormati antara satu sama lain.

Pertemuan yang akan diadakan di Bangi itu akan melibatkan Persatuan Penulis Nasional (Pena), Paksi manakala NGO yang mewakili masyarakat India pula disertai antara lain Malaysian India Voice (MIV) dan Indian Movement.

Suhaizan berkata pertemuan itu penting bagi mencari jalan penyelesaian selepas berlaku beberapa insiden yang tidak menyenangkan termasuk bantahan, pembakaran novel Interlok dan laporan polis.

“Pertemuan ini adalah sangat penting berikutan beberapa insiden yang telah berlaku sejak akhir-akhir ini seperti bantahan, pembakaran novel Interlok dan laporan-laporan polis yang telah dibuat dikuatiri boleh membawa ketegangan antara kaum.

“Dewan Pemuda PAS pusat merasakan semua pihak perlu berhati-hati dengan perangkap perkauman yang sengaja dipasang oleh golongan terdesak bagi mewujudkan ketegangan antara kaum.

“Golongan ini sanggup menggunakan apa cara sekali pun untuk mewujudkan ketegangan antara kaum,” katanya.

Justeru Suhaizan meminta semua rakyat negara ini supaya berhati-hati dengan semua “perangkap” perkauman yang boleh merosakkan keharmonian kaum.

“Bila wujudnya ketengangan, maka mudahlah mereka melaksanakan agenda pecah dan perintah.

“Oleh itu semua rakyat Malaysia perlu berhati-hati dengan semua perangkap perkauman yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum dalam negara ini.

“Semua rakyat Malaysia mahu hidup aman dan damai serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam negara tercinta ini,” katanya.

Semalam, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) berkata pihaknya tidak mahu campur tangan politik dalam usaha mencari jalan penyelesaian berhubung kontroversi novel tersebut.

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka hasil tulisan Sastarawan Negara Datuk Abdullah Hussain menjadi kontrovesi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India.

Ada pandangan yang mengatakan aspek kontroversi juga membabitkan kaum-kaum lain.

Interlok memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

Dalam kenyataannya disiarkan media semalam, Abdullah mempertahankan novelnya sambil menegaskan beliau tidak bermaksud mahu menghina masyarakat India negara ini.

Sehubungan itu beliau meminta mereka yang mempertikaikannya agar membaca kandungan novel itu dengan mendalam sebelum melahirkan pendirian mereka.

Novel itu yang kini berusia empat dekad telah diputuskan oleh Kementerian Pelajaran untuk dijadikan teks sastera mulai tahun ini.

Semalam Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, cadangan mengenai kajian semula penggunaan novel Interlok untuk komponen sastera Bahasa Malaysia di tingkatan lima sudah siap dan akan diserahkan di mesyuarat jemaah menteri hari ini atau minggu depan.

No comments

Powered by Blogger.