PRU-13 Lewat? Jangan Tertipu Dengan Cakap-cakap Najib

PRU-13: Najib timbang lewatkan pilihan raya tergempar

Oleh Yow Hong Chieh


KUALA LUMPUR, 12 Jan — Pentadbiran Najib dipercayai mempertimbangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya umum tergempar hanya pada suku keempat 2011 bagi membolehkan projek-projek transformasi ekonomi membuahkan hasil meskipun cakap-cakap sebelum ini menjurus kepada separuh pertama tahun ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 19 lagi projek permulaan di bawah Program Transformasi Ekonomi yang akan menjana pelaburan hampir RM67 bilion, RM36 bilion pendapatan kasar negara dan mewujudkan 35,000 pekerjaan baru.

Sebanyak 18 projek telah diumumkan sejak ETP dilancarkan pada 25 Oktober lalu.

Pertimbangan itu dilihat hasil pertemuan Najib dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sini hujung minggu lalu.

Ahli-ahli Parlimen BN dan pegawai-pegawai Umno yang mengadakan pertemuan dengan Najib memberitahu The Malaysian Insider bahawa presiden Umno itu lebih cenderung untuk memanggil pilihan raya umum ke-13 hanya selepas projek besar seperti MRT dan pembangunan Sungei Besi dimulakan.

Ditanya sama ada pertemuan itu boleh diambil kira sebagai satu petanda pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi, Najib pada sidang media Sabtu lalu berkata, usaha tersebut sebahagian daripada proses transformasi politik yang telah dimulakan.

“Kita ambil keputusan (ini) di mana saya umumkan dalam sejak Perhimpunan Agung Umno. Kita akan lancarkan program yang berbentuk transformasi politik bagi menunjukkan kesungguhan kepimpinan BN daripada peringkat tertinggi sampailah ke peringkat akar umbi dengan pelbagai kaedah dan program,” katanya.

Bulan lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, pelaksanaan projek MRT akan menjana pendapatan negara kasar antara RM3 bilion dan RM4 bilion bermula awal tahun depan sehingga ia siap dibina pada 2020.

Difahamkan, ketika pertemuan hujung minggu lalu, Najib telah meminta ahli-ahli Parlimen menyenaraikan projek-projek di kawasan masing-masing yang masih belum dilaksanakan.

Malah Najib juga meminta ahli-ahli Parlimen memaklumkan beliau janji pilihan raya umum 2008 yang masih belum dipenuhi.

Pegawai-pegawai yang rapat dengan perbincangan itu memberitahu The Malaysian Insider, Najib ada memaklumkan ahli-ahli Parlimen bahawa beliau akan membantu mereka memastikan janji-janji kempen 2008 dan projek ditunaikan sebelum memanggil pilihan raya umum ke-13.

Najib, yang turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin BN bulan lalu, dilaporkan kemungkinan mengadakan pilihan raya umum pada Mei atau Jun ini ekoran kebimbangan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan akan memberi impak ke atas ekonomi Malaysia pada suku ketiga.

Menurut kajian Merdeka Center di kalangan pengundi Semenanjung Malaysia, sikap optimistik mengenai kedudukan ekonomi pada 2011 jatuh enam peratus dengan hanya 47 peratus merasakan ekonomi tahun ini akan bertambah baik.

Sikap pesimistik pengundi mengenai ketidaktentuan ekonomi kemungkinan menjadi faktor kukuh kerajaan BN memanggil pilihan raya awal.

Satu lagi faktor yang kemungkinan membawa kepada pilihan raya awal ialah tahap populariti Najib sendiri, yang kekal tinggi - 69 peratus berpuas hati dengannya manakala 54 peratus berpendapat ekonomi negara berada di landasan betul, meningkat daripada paras 52 peratus berbanding Mei lalu.

Laporan Economist Intelligence Unit (EIU) yang terbaru mengenai Malaysia menekankan Najib memerlukan mandat kukuh tahun ini untuk menghadapi pemilihan parti dengan selesa pada 2012.

Beberapa parti komponen termasuk Umno telah menangguhkan pemilihan parti masing-masing sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.

No comments

Powered by Blogger.